Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, bersyukur kerana doa buat anaknya, Syamsul, akhirnya dimakbulkan walaupun selepas bertahun-tahun menunggu.
Menurut laporan Harian Metro, Yusof berkata dia tidak pernah menyimpan dendam atau kebencian terhadap anaknya itu,
malah telah memaafkan Syamsul setelah bertahun-tahun tidak bertemu.
Beliau menjelaskan bahawa dia tidak pernah menyangka anak lelakinya akan pulang semula ke sisi keluarga setelah lama terputus hubungan.
“Kami tidak pernah membenci darah daging sendiri. Sebaliknya, kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya dalam solat.
“Doa kami untuk Syamsul akhirnya dimakbulkan walaupun memerlukan masa yang lama.
“Dia sendiri menghubungi ibunya pada Isnin lalu dan menyatakan hasrat untuk bertemu kami selepas sekian lama terputus hubungan.
“Dia memeluk kami dengan wajah ceria dan kami bersama-sama menikmati makan malam,” katanya.
Yusof menjelaskan bahawa pertemuan tersebut memberi kesan mendalam kepada dirinya dan isteri, Datin Patimah Ismail. Mereka tidak membincangkan hal-hal lama yang telah terjadi.
Beliau berharap ikatan yang telah terjalin semula dengan Syamsul akan kekal selamanya.
“Sudah tentu kami mengalirkan air mata selepas bertahun-tahun menanti untuk bertemu dengannya. Pada pertemuan itu, kami tidak membincangkan perkara-perkara lalu, hanya berbual santai.
“Semoga ikatan ini kekal hingga ke akhir hayat kami,” tambahnya.
Sejak semalam, perkongsian Patimah Ismail di media sosial mendapat perhatian ramai apabila Syamsul dilihat telah bertemu semula dengan keluarganya setelah bertahun-tahun tidak berhubung.
BACA: Bermula dari pasar malam, ini liku kejayaan pengasas ‘handbag’ jenama tempatan Christy Ng