Disangka buat ‘show’, rupanya bakar diri sendiri. Orang ramai yang menyaksikan insiden seorang lelaki membakar dirinya di hadapan Menara Galata, Turki dikecam netizen kerana bertindak merakam swafoto bersama mangsa tanpa menghulurkan bantuan, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Berdasarkan klip video yang tular di media sosial, mangsa yang memakai kostum ‘Grim Reaper’ atau dikenali sebagai ‘malaikat maut’ itu dilihat dalam keadaan terhuyung-hayang ketika api membakar badannya.
Selepas beberapa ketika berguling di atas jalan, pemilik sebuah kedai akhirnya membantu memadamkan kebakaran dengan menyembur cecair pemadam api kepada mangsa.
Lelaki yang dilaporkan melumurkan badannya dengan minyak petrol sebelum menyalakan api itu bagaimanapun terselamat dan mampu bercakap dengan pihak berkuasa selepas diberikan bantuan kecemasan.
Selepas klip video tersebut dikongsikan di media sosial, ramai netizen meluahkan rasa kecewa mereka terhadap reaksi orang ramai yang menyaksikan insiden itu.
Seorang individu membuat spekulasi bahawa pengunjung mungkin menyangkakan bahawa insiden tersebut adalah sebuah pertunjukan jalanan.
“Saya akan menyangkakan ia adalah pertunjukan jalanan dan mungkin orang lain turut berfikir perkara yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, menurut laman berita Turkey Posts, Gabenor Istanbul telah mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian tersebut.
“Hari ini kira-kira pukul 6.30 petang (waktu tempatan) di daerah Beyoglu, berhampiran Menara Galata, mangsa yang dikenali sebagai ACTP telah cuba membakar dirinya menggunakan bahan mudah terbakar yang disiram pada badannya.
“Selepas dibantu penduduk setempat, api berjaya dipadamkan dan mangsa dibawa ke hospital oleh pasukan 112 Emergency Health. Rawatan masih diteruskan dan siasatan mengenai insiden telah dimulakan,” demikian menurut kenyataan tersebut. – Agensi
BACA:
Azrul ‘londeh’ cerita gelap proses pemilihan maharaja lawak mega, “semua dia kawal..”