Dipukul rakan dengan penyapu, lelaki buta sebelah mata

Dipukul rakan dengan penyapu, lelaki buta sebelah mata

Hanya kerana tidak melawan apabila dimarahi penyelianya sebelum ini, seorang lelaki buta mata kanannya selepas dipukul rakannya sendiri dalam kejadian di Kampung Benonok di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam Jumaat lalu, mangsa pada awalnya dikatakan minum minuman keras di rumah rakannya itu di kampung berkenaan.

Bagaimanapun, pergaduhan tercetus apabila rakannya mempersoalkan sikap mangsa yang tidak melawan ketika dimarahi penyelia di tempat kerja kira-kira dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Azmir Abd Razak berkata, siasatan awal mendapati suspek yang tidak puas hati telah mencabar mangsa untuk bergaduh.

Suspek kemudian mematahkan sebatang penyapu sebelum menyerang mangsa yang ketika itu cuba melarikan diri.

“Mangsa yang melihat suspek memegang sebatang penyapu yang sudah dipatahkan kemudian terus berdiri untuk beredar dari rumah suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmir berkata, ketika mangsa hendak keluar dari rumah berkenaan, suspek tiba-tiba memukul mangsa di bahagian muka dan terkena pada mata kanannya.

Mangsa kemudiannya melarikan diri ke rumah jiran berhampiran untuk meminta pertolongan sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Tiada saksi yang melihat kejadian tersebut kerana ketika itu, hanya mangsa dan suspek berada di dalam rumah berkenaan.

“Doktor mengesahkan mata mangsa yang cedera sudah rosak dan akan mengalami kecacatan kekal,” katanya sambil menambah, laporan polis telah dibuat ibu mangsa semalam.

Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan polis berjaya mengesan dan menahan suspek di Jalan Kompleks Sukan Beaufort, 8.30 malam semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” kata Azmir.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/17/lelaki-buta-sebelah-mata-selepas-dipukul-rakan-dengan-penyapu/