Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menjelaskan bahawa penyertaan atlet terjun wanita
yang mewakili negeri Terengganu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak tidak diketahui oleh pihaknya.
Hishamuddin berkata, secara asasnya Terengganu tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
Beliau menambah, Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu telah dimaklumkan agar tiada atlet wanita dan Muslim dari Terengganu yang menyertai acara tersebut kerana pemakaian yang tidak mematuhi kod etika yang ditetapkan.
“Malangnya, terdapat penyertaan atlet terjun wanita dari kontinjen Sukma Terengganu yang turut menyertai acara tersebut dan perkara ini berada di luar pengetahuan saya.
“Penyertaan ini telah dirujuk kepada pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu yang memaklumkan bahawa penyertaan tersebut dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu dan berada di bawah perbelanjaan sendiri serta hanya memohon kuota Terengganu.
“Persatuan Renang Amatur Terengganu juga telah melakukan kunjungan hormat kepada saya pada 5 Jun 2024 untuk memohon pelepasan ini.
Pada waktu itu, saya telah menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak membenarkan penyertaan tersebut kerana ia bercanggah dengan garis panduan yang telah diperkenalkan, walaupun atlet tersebut bukan berasal dari Terengganu jika dia seorang Muslim,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan tentang penyertaan dua atlet wanita Muslim yang mewakili Terengganu dalam sukan terjun pada Sukma 2024 yang berakhir semalam, walaupun sebelum ini penyertaan atlet gimnastik wanita Muslim dihalang atas alasan pemakaian tidak mematuhi syariah.
Mengulas perkara ini, Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Wan Hasbi Wan Ahmad menyifatkan kerajaan negeri gagal menonjolkan atlet Muslim yang patuh syariah walaupun sering menguar-uarkan aspek tersebut, termasuk menyekat penyertaan atlet gimnastik wanita ke Sukma.
Menurut Wan Hasbi, jika Terengganu menghalang penyertaan wanita dalam acara gimnastik atas dasar kesopanan dan pematuhan syariah, prinsip tersebut sepatutnya turut digunakan secara konsisten dalam semua sukan, termasuk acara renang dan terjun.
Seorang bekas atlet gimnastik Terengganu yang enggan namanya didedahkan juga meminta penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai perkara ini.
Hishamuddin yang juga Adun Tepoh berkata, beliau sangat terkejut dengan laporan mengenai penyertaan tersebut dan amat berdukacita dengan perkara itu.
“Penyertaan atlet tersebut dalam acara ini tidak berada dalam pengetahuan saya sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri.
“Saya telah meminta pihak pengurusan MSN Terengganu untuk menyediakan laporan lengkap berkaitan penyertaan atlet wanita dalam acara ini dan akan memanggil pihak persatuan untuk memberikan penjelasan terperinci selepas Sukma 2024 selesai.
“Tindakan selanjutnya akan diambil setelah sesi pendengaran oleh pihak persatuan selesai,” katanya.
BACA: Baru tahu rupanya ini punca terjadinya air terjun, air dari celah batu?