Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pada hari Rabu memberikan reaksi mengenai siasatan yang dimulakan
oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek 1BestariNet.
Melalui aplikasi X miliknya, beliau memuat naik kenyataan ringkas yang berbunyi “akhirnya.”
Di media sosial, Maszlee juga membuat hantaran mengimbas kembali surat pekeliling bertarikh 27 Jun 2019 mengenai perkhidmatan talian internet di sekolah.
Dalam pekeliling tersebut, dinyatakan bahawa sejak tahun 2012, 1BestariNet telah membantu KPM menyediakan talian internet dan aplikasi persekitaran pembelajaran maya (VLE) kepada 10,211 sekolah di seluruh negara.
Menurut surat tersebut, kontrak perkhidmatan itu tamat selepas tujuh tahun pada 30 Jun 2019, dan mulai 1 Julai 2019, perkhidmatan talian internet ke sekolah-sekolah di seluruh negara akan disediakan oleh tiga syarikat penyedia perkhidmatan internet (ISP) iaitu Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad, dan Maxis Broadband Sdn Bhd.
Pekeliling itu juga menyebut bahawa ketiga-tiga syarikat ISP tersebut akan menyediakan perkhidmatan talian internet ke beberapa bahagian KPM dan 366 pusat kegiatan guru (PKG) di seluruh negara.
Susulan tamatnya perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2, KPM memutuskan untuk menggunakan platform pembelajaran Google Classroom (GC) sebagai pengganti Frog VLE.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan (KPM) bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada tahun 2011.
Menurut sumber, SPRM telah melakukan penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL Communications Sdn Bhd di Kuala Lumpur pada hari Rabu.
Hasil penggeledahan tersebut, sejumlah dokumen telah disita dan SPRM kini sedang mengkaji untuk mengenal pasti saksi-saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
BACA: Tular video gadis dirisik keluarga kekasih, sekali ‘background’ pula tarik perhatian netizen