Perintah untuk taat setia kepada jemaah dan kepimpinan membuatkan ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH)
Mereka terpaksa mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan, termasuk diperlakukan seperti hamba sahaya.
Walaupun kehidupan mereka boleh diumpamakan seperti ‘lembu dicucuk hidung’, tahap kesetiaan
setiap pengikut tetap diuji untuk memastikan perjuangan ‘Islam’ yang diterapkan dapat diteruskan sehingga ke generasi seterusnya, walaupun perjuangan sebenar Islam tidak sedemikian.
Membesar dalam lingkungan tersebut sejak kecil, seorang bekas ahli GISBH yang ingin dikenali sebagai Muhammad Kamaludin
mendedahkan bahawa ketaatan mereka diuji dalam pelbagai bentuk, termasuk bekerja sebagai buruh paksa tanpa dibayar, hanya diberi makan dan tempat tinggal.
“GISBH adalah syarikat yang menggunakan tenaga manusia tanpa membayar gaji. Mereka beranggapan pemberian makanan dan tempat tinggal sudah mencukupi untuk seseorang itu menjalani kehidupan.
“Jika ahli dikehendaki pergi ke luar negara, mereka tidak diberikan satu sen pun melainkan tiket dan keperluan untuk berada di sana. Jika (ahli) ingin berbelanja, mereka perlu pandai-pandai mencari duit sendiri atau meminta daripada ahli keluarga masing-masing.
“Hidup mereka sepenuhnya digunakan oleh syarikat… sejak lahir, mereka diletakkan di rumah amal atau atas nama tahfiz,” dedahnya yang juga merupakan individu dalam peringkat kepimpinan kumpulan itu ketika dihubungi mStar pada Selasa.
Menurutnya lagi, bagi ahli yang sudah berkahwin, ketaatan diuji dengan cara menceraikan isteri masing-masing.
Malah, paksaan itu dilakukan secara berjemaah sambil dipantau oleh seorang pemimpin.
Bukan itu sahaja, mereka juga menggunakan nama Rasulullah SAW dalam setiap perkara bagi meyakinkan ahli, sedangkan apa yang diperkatakan itu adalah bohong semata-mata.
“Saya sangat kesal penggunaan nama Rasulullah dalam beberapa perkara seperti mendapat alamat daripada Yaqazah dengan Rasulullah… perbuatan ini membuatkan saya rasa sangat menyesal kerana berbohong dengan nama Rasulullah adalah dosa yang besar.
“Mereka juga memberi arahan agar setiap suami menceraikan isteri, ini dilakukan secara berjemaah dan dipantau oleh seorang pemimpin yang merupakan anak pengasas syarikat.
“Dia meminta kami menceraikan isteri tanpa sebab, hanya untuk melihat ketaatan kami pada jemaah,” tambahnya.
Nekad Tinggalkan Fahaman GISBH
Menyedari bahawa setiap ajaran dan arahan yang diberikan bercanggah dengan norma kehidupan manusia, Muhammad Kamaludin nekad meninggalkan jemaah GISBH pada tahun 2011 walaupun sudah sebati dengan kumpulan itu sejak lahir.
“Saya mula rasa banyak perkara tidak masuk akal dan mungkin pada masa itu saya sudah terbuka fikiran. Saya melihat sistem perhambaan yang menekan anak buah untuk mengumpul duit dan pelanggaran syariat Islam oleh jemaah.
“Saya dilahirkan dalam (ajaran) al-Arqam kerana ibu bapa saya adalah pengikutnya. Selepas pengharaman ajaran itu, saya bersekolah di luar hingga Rufaqa’ dibuka di Rawang (Selangor) dan menyertainya pada tahun 2000.
“Saya meninggalkan GISBH pada tahun 2011, selepas kematian pengasasnya, Allahyarham Ashaari Muhammad atau Abuya,” katanya yang dipertemukan dengan Abuya pada tahun 1988.
Bagi jemaah GISBH, tidak keterlaluan dikatakan bahawa ahlinya akan gagal meneruskan hidup apabila meninggalkan kumpulan kerana kehidupan mereka sudah diatur sejak kecil sehingga ke akhir hayat.
Justeru, mereka sering melaungkan ungkapan ‘bolehkah kamu hidup tanpa jemaah’ jika terdapat ahli yang mula berpaling tadah.
Ahli yang nekad untuk keluar pula akan menerima ugutan dan dituduh sebagai munafik serta musuh perjuangan Islam dan Imam Mahdi.
“Saya juga mengalami satu peristiwa semasa meninggalkan jemaah, di mana isteri dibawa lari ke sebuah negara sehingga saya terpaksa berlakon ‘bertaubat’ untuk mendapatkan semula isteri.
“Mereka memisahkan kami dengan mengatakan saya keluar daripada perjuangan Islam, tetapi akhirnya Alhamdulillah saya dapat bawa balik isteri ke Malaysia,” tambahnya yang terpisah selama empat bulan dengan isteri akibat tindakan nekad yang diambil.
‘Recycle’ Duit Zakat Fitrah
Pernah terlibat dalam barisan pucuk pimpinan syarikat, dia yang kini berusia 37 tahun berkata, sepanjang tempoh dilantik sebagai pengurus dan memegang projek dalam jemaah, pelbagai korupsi terbongkar, termasuk penyelewengan wang sedekah dan dana.
“Saya pernah terlibat dengan rumah amal, terutamanya bulan Ramadan, di mana duit masuk memang berjuta, terutama untuk rumah-rumah amal induk yang besar di bawah jemaah.
“Namun, ia tidak digunakan untuk ahli mahupun membayar gaji pekerja,” katanya yang pernah menjadi salah seorang motivator untuk menerangkan fahaman jemaah secara terperinci pada awal usia 20-an.
Lebih menyedihkan apabila ahli terpaksa menggunakan helah untuk membayar zakat fitrah semasa menyambut lebaran 1 Syawal.
“Ahli-ahli yang ingin membayar zakat fitrah semasa hari raya kadang-kadang menggunakan helah antara mereka… awak bayar kepada saya, saya bayar kepada dia, dan seterusnya dia bayar semula kepada awak kerana masing-masing tidak mempunyai duit.
“GISBH nampak gah hingga ke luar negara, tetapi hakikatnya mereka yang baru meningkat dewasa dihantar sebagai tenaga percuma dengan berbekalkan keyakinan perjuangan adalah untuk kebenaran serta perjuangan Imam Mahdi akhir zaman,” tambahnya yang kini menetap di luar negara.
Muhammad Kamaludin juga mendedahkan bahawa mereka diajar dengan fahaman yang salah apabila jemaah tidak perlu menunaikan solat fardu lima waktu seperti amalan ahli Sunnah wal Jamaah, sebaliknya hanya melakukan jamak.
Malah, katanya, cara solat seperti itu telah diamalkan sejak sekian lama, sebelum dia meninggalkan kumpulan GISBH.
Tambahnya, alasan menghalalkan jamak ini adalah kerana mereka berpegang kepada mujadid (Abuya), kononnya kerana perjuangan akhir zaman, iaitu tinggal di tempat yang tidak menentu walaupun sekadar keluar sejauh 20 kilometer.
“Memang sejak zaman saya, solat jamak sudah menjadi kebiasaan. Bekas ahli yang terkini juga mengaku mereka masih mengamalkan jamak. Duduk di rumah pun boleh jamak.
“Cuma dua bulan sebelum operasi polis, mereka tidak lagi melakukan jamak,” katanya sambil menambah GISBH lebih teruk berbanding al-Arqam walaupun kumpulan ini wujud daripada serpihan ajaran yang difatwakan sesat.
BACA: Dianggap ‘over’, ini sebab Fazura upah sampai 5 orang ‘bodyguard’