Assalamualaikum dan salam perkenalan pembaca setia semau. Nama ku Sahara, berumur pertengahan 20-an.
Seorang isteri dan masih berusaha untuk menjadi seorang ibu. Usia perkahwinan baru menjangkau 1 tahun.
Aku hanya lulusan diploma saja di Universiti tempatan yang terletak di Utara Malaysia. Suami ku pula, ku namakan Azri.
Aku berkenalan dengan Azri ketika aku bekerja sambilan di sebuah pasaraya.
Jarak usia Azri dan aku ialah 7 tahun. Aku dan Azri bercinta hampir 7 tahun lamanya, dan alhamdulillah, hingga ke jinjang pelamin.
Mengimbau kembali sifat ku ketika kecil hingga remaja, ketika kanak kanak. Aku paling awal khatam AlQuran berbanding temanku yang lain. Aku juga menutup aurat dengan rapi.
Ketika zaman sekolah menengah, aku juga tak pernah terjebak dengan cinta cinta monyet, mungkin kerana aku tidak punya rupa yang menarik.
Untung juga, kerana aku tidaklah buang masa ke arah itu, jadi aku sentiasa fokus belajar dan berlumba lumba dengan rakan rakan untuk dapat “Result” yang gempak.
Selepas tamat SPM, tahun 2012, aku berpeluang ke Matrikulasi. Umum semua tahu, Matrikulasi adalah jalan pintas untuk ke degree.
Bak kata pensyarah, masuk ke matrik umpama sebelah kaki sudah ada untuk ke degree. Tapi, ia tidak menjadi untuk aku.
Aku bukanlah pelajar yang bijak. Aku perlu berusaha jika mahu result yang bagus.
Rata rata yang masuk Matrikulasi adalah pelajar yang straight A ketika SPM. Manakala aku, hanya kutip beberapa A, selebihnya B dan Addmath pula hanya sekadar Lulus.
Aku pun tak tahu bagaimana aku boleh ditawarkan Matrikulasi ni. Ada yang kata kerana Addmath ku lulus dan untuk cukupkan kuota. Entahlah nok.
Tempoh Matrikulasi ni hanyalah 1 tahun. Jadi, di Matrik, tak ada masa untuk main main. Kelas bermula seawal 8 pagi hingga 6 petang,
Jika di U lain, sering ada kelas cancel, tapi di sini, jika ada pensyarah yang MC atau ada kelas yang cancel, pensyarah subjek lain akan ambil alih dengan pantasnya. Jadi, jangan mimpi boleh balik bilik nak tidur.
Sebelum masuk ke Matrik, aku bekerja sambilan di pasaraya berdekatan rumah. Di situlah aku berkenalan dengan Azri, suamiku sekarang.
Dan dari itu, selepas sambung belajar ke Matrik aku mula leka. Aku malas nak belajar. Masaku dihabiskan dengan bermesej-mesej (zaman tu tak da whassap lagi), dan bergayut pada setiap malam.
Ketika itu popular dengan “super saver”. Panggilan selepas pukul 12 malam. RM 1 untuk 1 jam. (selingan).
Ketika ada exam atau ujian, aku sering mendapat markah rendah. Aku jadi perhatian pensyarah pensyarah dan sering dipanggil berjumpa untuk sesi kaunseling. Kononnya selepas di kaunseling, aku nak berubah, tapi aku tetap sama.
Tamat belajar, result aku tidak melepasi syarat untuk melayakkan aku sambung ke degree.
Sama ada aku perlu ulang semula, atau apply diploma saja. Ibu bapa sangat kecewa. Ibu langsung tak nak bercakap denganku untuk beberapa waktu.
Hanyut dengan dunia cinta. Aku menjadi lebih teruk apabila ibu dan ayah bermasalah. Aku memberontak kononnya. Hingga lah aku terima akibatnya.
Sejahat jahat aku, aku cuba untuk menjaga kehormatan wanita ku. Walaupun Azri sering memberi hint, tapi aku tidak endahkan.
Namun, suatu malam ibu dan ayah bergaduh, aku terus keluar rumah pada malam itu dan berjumpa Azri.
Mengadu dan menangis, malam itu juga, Aku hilang kehormatanku pada Azri. Menyesal dan benci pada diri sendiri.
Azri berjanji tidak akan tinggalkan aku. Katanya, dia mahu aku jadi isterinya dan bukan hanya untuk main main.
Ya, Azri tak pernah tinggalkan aku. Dan aku juga tekadkan dalam diri, bahawa aku tak akan berkahwin dengan lelaki lain selain Azri.
2014, Aku lanjutkan pelajaran di Universiti tempatan. Azri pula bekerja di syarikat logistik yang pendapatannya hanya sekitar RM1300 sebulan. Ketika itu aku masih belajar.
Oleh kerana tidak jauh tempat belajar aku, setiap hujung minggu, Azri akan ambil aku dan hantar ke rumah aku. Dan hari Ahad, dia juga akan hantar aku kembali ke U.
Sepanjang aku bersama Azri, ibubapa aku tak pernah tahu atau hidu semua perbuatanku. Mereka menganggap aku anak yang pandai menjaga diri. Sedangkan aku dah buat lebih daripada itu, cuma aku pandai cover line.
Azri sering berhutang, sering tak cukup duit, jadi akulah yang jadi penyelamat. Walaupun setiap kali gaji, Azri akan bayar balik, di pertengahan bulan, pasti dia akan kehabisan wang. Dan akan meminjam lagi dariku.
Sedangkan aku ketika itu masih belajar dan hanya bergantung pada PTPTN. Cycle itu berterusan. Gaji Azri mungkin terlalu sedikit, sedangkan dia punya ibu dan adik adik yang perlu disara.
Selepas tamat belajar, aku diterima bekerja di syarikat swasta. Aku dan Azri masih sama. Seringkali kami bergaduh hanya kerana duit.
Sesungguhnya aku sangatlah tawar hati ketika itu. Aku rasa penat disebabkan masalah duit yang tak pernah habis.
Aku dah tak nak teruskan hubungan dengannya, tapi aku takut jika tiada lelaki yang akan terima aku kerana aku sudah “rosak”.
Oleh itu, aku bertahan hingga pada tahun 2017, aku berkenalan dengan lelaki lain. Zaidi namanya. Zaidi sangat mengambil berat dan caring.
Namun aku ragu ragu sekiranya dia akan membenci aku jika tahu kebenarannya. 1 hari, aku berterus terang pada Zaidi. Zaidi terima dengan baik. Katanya untuk apa sesalkan masa lalu.
Waktu itu, aku gembira. Aku terus memutuskan hubungan dengan Azri tanpa memberitahu apa salah Azri.
Aku minta Azri lupakan aku dan cari perempuan yang boleh bertahan dengannya seperti aku bertahan dengannya.
Baru beberapa bulan berkenalan dengan Zaidi, rupanya Zaidi hanya mahu mempermainkan aku. Zaidi mengajak untuk checkin pada 1 malam, aku menolak kerana aku tak mahu lakukan perkara tersebut.
Zaidi ketawa sinis, Katanya, aku sudah rosak, jadi tak perlu untuk berlagak suci. Zaidi juga terus memandu kereta menuju ke hotel.
Sekali lagi Zaidi memujuk ku, aku pun akur pada permintaan Zaidi. Sampai di depan hotel, aku meminta Zaidi turun ke kaunter dahulu. Kononnya aku takut jika terjumpa orang yang mengenali aku.
Mujur kereta itu kereta aku, usai Zaidi turun, aku terus pecut balik. Aku sempat call dan memaki Zaidi. Zaidi fikir aku perempuan murah agaknya.
Malam itu aku menangis dan berkurung di dalam bilik saja. Aku terasa diri aku terlalu hina.
Aku solat taubat dan mengaji untuk sekian lamanya. Aku meratapi nasibku. Sedangkan semua yang berlaku, salahku sendiri. Aku sendiri yang tak mampu kawal nafsu.
Aku banyak kali cakap pada diri, jika aku tak terlanjur malam itu dengan Azri, pasti nasib ku lebih baik. Terasa hina di mata manusia, apa lagi di mata Allah.
Aku kumpul kekuatan dan cuba hadapi hari hari ku dengan lebih positif. Aku lebihkan masa untuk ibu bapa aku, aku isi masa terluang dengan dengar ceramah di youtube, perbetulkan solat dan mengaji.
Selepas 2 tahun, suatu hari selepas waktu bekerja, seorang lelaki yang sudah lama hilang tunggu di luar syarikat aku bekerja. Lelaki itu adalah Azri.
Aku terkejut dan terpana. Dan aku secara sukarela berhenti dan keluar dari kereta. Azri tersenyum dan makin lama senyumannya hilang dan bertukar kepada tangisan.
Azri meminta maaf atas salahnya yang sering menyusahkan aku. Selepas aku minta putus, Azri tidak mencari aku kerana dia berjanji untuk mengubah hidupnya dan apabila hidupnya lebih baik, dia akan datang mencari ku semula. Azri merayu agar aku kembali.
Aku juga rindu padanya. Selepas putus dahulu, aku sering tunggu Azri datang ke tempat aku bekerja walaupun aku sedang berkenalan dengan Zaidi ketika itu.
Mana mungkin aku mudah melupakan lelaki yang sentiasa di sisi aku ketika susah dan senang.
Azri meminta tempoh 5 bulan untuk kumpul duit hantaran dan alhamdulillah aku dan Azri pun berkahwin.
Azri tunaikan janji untuk jadikan aku isterinya walaupun aku pernah tinggalkannya untuk lelaki lain.
Apa yang aku nak simpulkan yang segala perbuatan kita pada hari ini, kita perlu terima akibatnya. Mungkin persekitaran kita yang t0ksik menjadikan kita tersasar dari jalan yang betul.
Aku dulu menyalahkan ibubapa aku yang sering bergaduh hingga aku memberontak, tapi salah aku, aku tak cuba berkomunikasi.
Aku nak tunjuk pada ibu bapa yang aku terkesan dengan mereka yang sentiasa bergaduh, tapi apabila ibu bapa tegur, aku langsung tak hirau.
Nasibku baik kerana Allah beri teguran sebelum aku menjadi perempuan yang lebih liar.
Aku pendosa, Azri juga pendosa. Semuanya bergantung pada diri. Sama ada aku nak teruskan jadi perempuan yang liar atau berubah.
Dan aku pilih untuk berubah. Begitu juga Azri. Azri boleh pilih untuk bercinta dengan perempuan lain dan berterusan meminjam duit orang, tapi Azri memilih untuk berkerja keras hingga dapat merubah nasib nya.
Akhir kata, Allah sentiasa ada. Baliklah padaNya, Allah rindu hambaNya untuk mengadu padaNya. Doakan aku agar aku dapat menimbang cahaya mata.