“Dia cuba buka seluar saya tapi tak dapat”, Youtuber dari Kelantan cuba cabul mahasiswi. Seorang bintang Youtube ditahan polis Kelantan selepas disyaki mencabul seorang wanita dalam kejadian di sebuah inap desa di Kubang Kerian, Kota Bharu, pada Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata suspek seorang pemuda 22 tahun itu ditahan selepas tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu jam 10.30 pagi, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas sesi penggambaran drama untuk siaran saluran Youtube di sebuah inap desa di Kubang Kerian.
“Kejadian berlaku pada pagi 1 Ogos lalu membabitkan seorang wanita berusia 24 tahun yang juga pelakon drama berkenaan.
“Selepas sesi penggambaran itu, mangsa diajak oleh suspek untuk tidur di sebuah inap desa dengan alasan masih terdapat sesi pengambaran pada keesokkan harinya.
“Ketika mangsa berseorangan dalam sebuah bilik tidur di tempat kejadian, suspek masuk ke dalam bilik itu dan bertindak mencium, memeluk serta meraba bahagian dada dan kemaluan mangsa selain melakukan onani,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.
Abdul Rahim berkata, perkenalan antara mangsa dan suspek bermula apabila wanita itu dihubungi seorang rakan yang menawarkannya berlakon drama bagi saluran Youtube.
Jelasnya, suspek yang bertindak sebagai penerbit dan pengarah drama itu menawarkan bayaran sebanyak RM600 untuk lakonan drama terbabit.
“Mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu dan suspek tampil di IPD Kota Bharu hari ini sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.
“Permohonan reman akan dibuat di mahkamah esok, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.
BACA: