Dia bergaduh sesama Umno heret nama DAP pula – Lim Guan Eng

Dia bergaduh sesama Umno heret nama DAP pula – Lim Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyelar Annuar Musa kerana mereka cerita mengenai kerjasama Umno-DAP yang tidak wujud.

Lim berkata, perbincangan berhubung kerjasama politik seperti itu mesti turut membabitkan setiausaha agung DAP, yang tidak pernah berlaku.

Beliau menyifatkan Annuar sebagai “tidak jujur” kerana mengheret DAP dengan kemelut politiknya dalam Umno.

Annuar, yang disingkirkan sebagai setiausaha agung BN berkata kepemimpinan Umno menghadiri “beberapa mesyuarat” sebagai persediaan bekerjasama dengan DAP.

Lim berkata, beliau hanya berbual biasa dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Najib Razak di Parlimen.

Beliau memberitahu FMT, dakwaan Annuar itu jelas tindakan “desperado” dan kerjasama politik dengan DAP tidak mungkin berlaku memandangkan ideologi yang terlalu berbeza.

Katanya, secara realiti beliau lebih banyak berbual dengan Annuar berbanding Zahid dan Najib, kerana mengharapkannya menemui Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dari Kuala Lumpur bagi membincangkan beberapa isu.

Bagaimanapun, katanya, Annuar gagal memenuhi janji untuk menemui Ahli Parlimen terbabit seterusnya membuktikan sikapnya yang tidak boleh dipercayai.

“Beliau tidak pernah menemui Ahli Parlimen berkenaan. Annuar tiada kewibawaan.

“Jangan heret kami dalam isu ini, jangan gunakan kami sebagai alasan untuk menyelamatkan politik kamu. (Perbuatan) ini salah dan tidak jujur,” katanya.

COMMENTS