DBKL perketat penguatkuasaan papan tanda bahasa kebangsaan, apa kata rakyat?

Oleh SURIANI HAMDAN

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menguatkuasakan pematuhan papan tanda iklan di enam lokasi pusat beli-belah sepanjang tahun ini

. Dalam operasi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebanyak 31 notis kesalahan telah dikeluarkan.

Menurut DBKL, operasi ini dijalankan berdasarkan Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

DBP menjelaskan bahawa menurut peraturan tersebut, semua iklan wajib menggunakan bahasa kebangsaan.

Walaupun penggunaan bahasa asing dibenarkan, keutamaannya tetap diberikan kepada bahasa Melayu.

DBKL perketat penguatkuasaan papan tanda bahasa kebangsaan, apa kata rakyat?

DBP turut menyatakan sokongan terhadap tindakan DBKL yang mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang memaparkan iklan tanpa lesen sah atau yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan.

Namun begitu, langkah ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Berikut adalah pandangan pro dan kontra berkaitan isu ini:

Pendapat Menyokong Penggunaan Bahasa Asing

1. Meraikan Kepelbagaian Bahasa dan Budaya

Menurut Lau Yu Jie, 22, seorang guru tuisyen, penggunaan bahasa asing pada papan tanda bukanlah suatu kesalahan besar memandangkan Malaysia adalah negara berbilang kaum dan bahasa.

“Penggunaan bahasa asing dapat mencerminkan kepelbagaian bangsa dan budaya, selain memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat. Ia juga membantu pelancong asing memahami mesej dengan lebih mudah, memudahkan perjalanan mereka dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut berpendapat bahawa penggunaan bahasa asing bukan bermaksud menindas bahasa Melayu, tetapi boleh dijadikan cara menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

2. Memupuk Perpaduan dan Menarik Minat Belajar Bahasa Baru

Penulis bebas, R. Yashwin, 30, berpandangan bahawa penggunaan bahasa asing pada papan tanda atau iklan boleh menyatukan rakyat.

“Jika kita memahami bahasa kaum lain, kita juga akan lebih mengenali budaya dan adat resam mereka. Malah, penggunaan pelbagai bahasa ini boleh menarik minat orang ramai untuk mempelajari bahasa tersebut, yang secara tidak langsung meningkatkan penguasaan bahasa asing dalam masyarakat kita,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan bahasa asing bukan sahaja relevan dalam era globalisasi tetapi juga menjadi nilai tambah kepada rakyat yang mampu menguasai lebih daripada satu bahasa.

Pendapat Menentang Penggunaan Bahasa Asing

1. Mengutamakan Bahasa Kebangsaan untuk Keseragaman

Nurul Shazlin Saharudin, 26, seorang editor sari kata, berpendapat bahawa penggunaan bahasa kebangsaan pada papan tanda akan memudahkan semua rakyat memahami mesej yang disampaikan.

“Kita perlu mencontohi Jepun, di mana papan tanda mereka dipenuhi bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu perlu dihormati dan dimartabatkan untuk mewujudkan negara yang bersatu padu,” katanya.

Beliau juga percaya bahawa memartabatkan bahasa kebangsaan dapat melahirkan generasi yang lebih mahir dalam bahasa Melayu dan mengurangkan kebergantungan kepada bahasa asing.

2. Bahasa Kebangsaan Lambang Identiti Negara

Mohd Eyzal Ikram Mohamad, 37, seorang penjawat awam, menegaskan bahawa tiada keperluan menggunakan bahasa asing pada papan tanda.

“Negara-negara maju seperti Jepun, Korea, dan Perancis sangat mengagungkan bahasa kebangsaan mereka, dan itu tidak menghalang sektor pelancongan mereka berkembang pesat. Kita harus mencontohi mereka dan membawa bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau menolak pandangan bahawa penggunaan bahasa asing akan menarik lebih ramai pelancong, sebaliknya percaya bahawa memartabatkan bahasa kebangsaan akan menjadikan Malaysia lebih dihormati di mata dunia.

Kesimpulan

Perdebatan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa asing pada papan tanda terus menjadi isu yang relevan.

Walaupun terdapat pandangan berbeza, langkah DBKL memartabatkan bahasa Melayu mencerminkan usaha memperkukuhkan identiti negara sambil mengambil kira keharmonian masyarakat berbilang kaum.

BACA: Ini fungsi ‘breket’ yang ada pada penutup tangki minyak