Hanya kerana buku ‘pink’ Klinik Kesihatan koyak, sampai hati seorang suami ceraikan isteri berpantang
Dugaan buat seorang ibu beranak tiga di Flat Taman Semarak di sini apabila dia diceraikan suami ketika masih dalam pantang.
Keadaan itu menyebabkan wanita berusia 26 tahun tersebut berdepan tekanan,
malah buntu memikirkan bagaimana mahu membesarkan tiga anaknya berumur empat dan dua tahun serta bayi berusia 17 hari.
Wanita kelahiran Sabah itu diceraikan suami pada Khamis lalu selepas 13 hari melahirkan anak lelakinya.
Menurutnya, dia tidak menyangka diceraikan hanya kerana menegur suaminya yang membiarkan buku temu janji klinik anaknya koyak.
“Saya tak tahu kenapa hanya disebabkan masalah kecil itu dia terus menceraikan saya dengan talak satu.
“Yang saya paling sedih kerana anak kami baru saja dilahirkan dan belum sempat merasa kasih sayang seorang bapa,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya pada Isnin.
Wanita tersebut turut menerima kunjungan Pengurus Semarak Resource Centre, Muzaliza Musa.
Semarak Resource Centre merupakan pusat komuniti flat berkenaan.
Pak Wee seronok ajar rakan, keluarga bahasa Melayu, loghat Perak
Mengulas lanjut katanya, penceraian berkenaan merupakan kali kedua selepas kali pertama pada 2018, bagaimanapun dirujuk semula ketika masih dalam tempoh edah.
Jelasnya, sepanjang empat tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya itu, mereka tidak mempunyai banyak masalah.
“Saya rasa mungkin dia tertekan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana tak dapat bekerja seperti biasa dan kemuncaknya bila dia terpaksa menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari kerana positif Covid-19,” katanya.
Wanita tabah itu berkata, dia tidak lagi mahu mengenangkan apa yang berlaku dan mahu membuka buku baharu demi anak-anaknya.
Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi masalah kepadanya ketika ini adalah untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti kerana selama ini bergantung sepenuhnya kepada suami.
Sementara itu, Muzaliza berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang untuk melihat keadaan keluarga itu dengan lebih dekat, dalam masa sama beliau turut mengalu-alukan bantuan dan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk meringankan beban keluarga tersebut.
“Dari segi barangan makanan dan keperluan, ia mencukupi buat masa ini tetapi apa yang jadi kebimbangannya ialah bayaran bulanan sewa rumah dan bil utiliti yang perlu ditanggung selepas ini,” katanya.
Bagi mereka yang mahu membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 1562-2636-2529 atas nama Nurmila.