Usus adalah organ penting yang menyumbang kepada 60% sistem imun tubuh dan memiliki sistem saraf kompleks yang dikenali sebagai Enteric Nervous System.
Adakah anda tahu bahawa keadaan organ pencernaan boleh mempengaruhi kesihatan keseluruhan tubuh kita?
Oleh itu, jika usus dibiarkan ‘kotor’ akibat pemakanan yang tidak sihat dan gaya hidup tidak teratur, pelbagai gejala negatif boleh muncul.
Melalui akaun Lemon8, @Aishah.exe berkongsi ciri-ciri usus yang kotor yang boleh dilihat melalui perubahan pada tubuh:
Jerawat dan bekas jerawat sukar hilang
Usus yang kotor boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon, reaksi keradangan berlebihan, dan memperlahankan proses regenerasi kulit.
Akibatnya, kulit menjadi lebih mudah berjerawat, dan parut jerawat mengambil masa yang lama untuk hilang. J
erawat di dagu sering dikaitkan dengan masalah pencernaan atau perubahan hormon seperti fasa menstruasi, menandakan bahawa sistem dalaman, termasuk usus, mungkin memerlukan perhatian.
Mulut dan kentut berbau
Sisa makanan yang tidak tercerna terkumpul di dalam usus dan menghasilkan gas yang berbau busuk. Gas ini bukan sahaja menyebabkan kentut yang sangat busuk, tetapi juga mempengaruhi bau nafas. Masalah ini sering kali disebabkan oleh ketidakseimbangan bakteria baik dan buruk dalam usus.
Susah buang air besar
Kekurangan serat, vitamin, dan mineral dalam diet harian boleh menyebabkan usus menjadi kotor, memperlahankan proses pencernaan, dan menyebabkan sembelit.
Usus memerlukan lendir yang mencukupi untuk memudahkan pergerakan sisa makanan keluar dari badan. Tanpa nutrisi yang mencukupi, proses ini terganggu, menyebabkan toksin terkumpul dalam tubuh.
Mudahkan masuk angin dan sakit sendi
Apabila bakteria jahat dalam usus menghasilkan gas dan bahan kimia berbahaya, ia boleh menyebabkan perut kembung dan masuk angin.
Toksin yang masuk ke dalam aliran darah melalui sistem limfa pula boleh mengakibatkan sakit sendi, lenguh badan, dan keletihan. Keadaan ini juga menurunkan sistem imun, menjadikan tubuh lebih mudah terdedah kepada penyakit.
Berikut adalah beberapa cara mudah untuk membersihkan usus dan meningkatkan kesihatan pencernaan:
Makan serat dan buah-buahan
Serat memainkan peranan penting dalam melancarkan pergerakan sisa melalui usus dan mencegah sembelit. Tingkatkan pengambilan:
Buah-buahan (epal, betik, oren)
Sayur-sayuran (brokoli, bayam)
Biji-bijian dan kekacang
Serat larut juga membantu menyerap toksin dalam usus, menjadikannya lebih mudah dikeluarkan.
Minum air kosong
Air membantu melawaskan najis dan mempercepatkan proses pembuangan toksin dari tubuh. Anda disarankan untuk minum sekurang-kurangnya 1.5 hingga 2 liter air kosong setiap hari bagi memastikan tubuh kekal terhidrasi.
Makanan probiotik
Probiotik membantu meningkatkan populasi bakteria baik dalam usus, yang seterusnya memperbaiki pencernaan dan mengurangkan toksin. Antara makanan yang kaya dengan probiotik termasuk yogurt, kefir, dan sauerkraut.
Rutin senaman
Senaman membantu mempercepatkan metabolisme dan menyokong fungsi usus yang sihat. Aktiviti seperti joging, yoga, atau berjalan kaki boleh membakar lemak perut, melancarkan pergerakan usus, mengurangkan tekanan, yang juga memberi manfaat kepada sistem pencernaan.
Minum jus detoks
Jus dari buah-buahan dan sayur-sayuran seperti jus epal, jus lemon, dan jus lidah buaya mengandungi antioksidan dan enzim semula jadi yang membantu membersihkan toksin dalam usus dan meningkatkan kesihatan pencernaan.
Hindari makanan berproses, tinggi gula, dan kafein
Makanan yang diproses dan mengandungi gula tinggi boleh mengganggu keseimbangan bakteria baik dalam usus, manakala pengambilan kafein berlebihan boleh melambatkan pencernaan dan menyumbang kepada masalah seperti ‘leaky gut’.
Usus yang sihat adalah kunci kepada tubuh yang sihat. Dengan mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk diet seimbang, senaman teratur, dan pengambilan air yang mencukupi, anda dapat mengurangkan risiko masalah seperti kentut berbau, mulut berbau, dan gejala lain yang berkaitan dengan usus kotor.
Jangan lupa untuk mencuba tips-tips di atas dan jadikan kesihatan usus sebagai keutamaan. I
ngat, usus yang bersih bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan dalaman, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri dan kualiti hidup anda.
BACA: Kena ‘pau’ Polisi sampai RM9 juta, rakyat Malaysia lancar kempen boikot melancong ke Indonesia
1 thought on “Dah macam-macam skincare guna, jerawat tetap muncul di dagu, ini sebabnya”