“Dah la positif Covid, kena pula cacar monyet dan HIV”. Saintis-saintis melaporkan kes pertama pesakit yang diuji positif cacar monyet, Covid-19 dan virus kurang imun (HIV) secara serentak melibatkan seorang lelaki dari Itali, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Awal tahun ini, lelaki berusia 36 tahun itu mula mengalami beberapa gejala termasuk keletihan, demam dan sakit tekak, sembilan hari selepas pulang dari Sepanyol.
Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu menghabiskan lima hari di Sepanyol dari 16 hingga 20 Jun lalu, di mana dia melakukan hubungan seks sejenis tanpa perlindungan.
Pada 2 Julai lalu, dia diuji positif Covid-19, demikian menurut laporan kajian kes yang diterbitkan dalam Journal of Infection.
Waktu petang pada hari yang sama, gejala ruam mula menular pada lengan kirinya dengan keesokan harinya, vesikel kecil dan menyakitkan yang dikelilingi oleh ruam muncul pada tubuh, bahagian bawah badan, muka dan punggungnya.
Menjelang 5 Julai, vesikel itu mula merebak dan menjadi ‘pustula’ (benjol bernanah pada kulit). Lelaki berkenaan pergi ke jabatan kecemasan sebuah hospital dan kemudian dipindahkan ke unit Penyakit Berjangkit.
Dia kemudian diuji positif cacar monyet sebelum disahkan dijangkiti HIV-1 setelah menjalani beberapa ujian saringan penyakit kelamin.
Para penyelidik berkata bahawa berdasarkan kiraan CD4 pesakit tersebut (ukuran sistem imun), jangkitan itu diandaikan agak baharu.
Selepas pulih daripada Covid-19 dan cacar monyet, dia dibenarkan keluar dari hospital pada 11 Julai lalu dan dihantar pulang untuk dikuarantin.
BACA:
Laporan dedah Malaysia antara 5 negara punyai e-mel berniat jahat paling tinggi
Dikecam pakai songkok badan separuh bogel, pereka fesyen buka mulut