Perbuatan ini dilakukan pada pukul 8.53 malam di pasar raya Setia Jaya, Jalan KL 3/13, Taman Kota Laksamana Jaya, Melaka Tengah pada 14 Mei 2024.
Sepasang suami isteri dipenjara selama 28 hari dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini
selepas didapati bersalah mencuri 19 peket Milo 2 kilogram (kg) di sebuah pasar raya di Ayer Keroh pada bulan Julai lalu.
Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Mohamad Nor Azam Bakar, 34,
Dan Noor Azura Rosslan, 38, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama telah mencuri 11 peket Milo 2kg bernilai RM493.57 milik pasar raya Aeon Ayer Keroh di dalam bangunan tersebut, yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda, pada pukul 8.02 malam, 16 Julai lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi secara bersama-sama melakukan kesalahan yang sama pada keesokan harinya pada pukul 8.45 malam dengan mencuri lapan peket Milo 2kg bernilai RM358.96 milik pasar raya yang sama.
Untuk perbuatan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan bagi kesalahan kali kedua atau lebih, mereka juga boleh dikenakan hukuman sebat.
Tertuduh lelaki turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu mencuri lima peket Nescafe Refill Pack, satu peket kapas muka, dan tisu tandas berjumlah RM250.50 milik pasar raya Setia Jaya. Perbuatan ini dilakukan pada pukul 8.53 malam di pasar raya Setia Jaya, Jalan KL 3/13, Taman Kota Laksamana Jaya, Melaka Tengah pada 14 Mei 2024.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Peguam Nigel Tai, yang mewakili tertuduh, merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan tindakan anak guamnya itu adalah untuk mencari wang bagi menampung kos rawatan dialisis ibu Mohamad Nor Azam, dengan menjual Milo yang dicuri. Beliau juga menambah bahawa pasangan tersebut menanggung lima anak, termasuk dua orang kelainan upaya (OKU), dengan si bapa hanya bekerja sebagai penjual burger dan si ibu sebagai tukang urut.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, memohon hukuman berat dikenakan memandangkan kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan tersebut berturut-turut dan item yang dicuri bukanlah barangan keperluan mendesak.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Khairunnisak menjatuhkan hukuman penjara 28 hari dan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua, atau dua minggu penjara jika gagal bayar.
Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 14 hari terhadap Mohamad Nor Azam bagi pertuduhan ketiga dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar. Hukuman-hukuman tersebut diperintahkan berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum.