Covid 19 : Pembukaan sekolah di 3 daerah Sarawak ditunda

Covid 19 : Pembukaan sekolah di 3 daerah Sarawak ditunda

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengumumkan pembukaan semula 213 sekolah di Kuching, Samarahan dan Padawan ditangguhkan sekali lagi akibat kebimbangan terhadap penularan Covid-19.

Jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini berkata, 213 sekolah di 3 daerah itu hanya akan dibuka semula pada 17 Ogos berbanding 3 Ogos ini.

Ia membabitkan kelas peralihan, Tingkatan 1 hingga 4, Tingkatan 6 rendah dan Tahun 1 hingga 6, tetapi ia tidak menjejaskan pelajar tadika, Tingkatan 5 dan 6 atas.

Mengenai pendaftaran pelajar matrikulasi pada 3 Ogos ini, katanya, ia akan bekerjasama dengan Sukarelawan Sarawak, sebuah NGO untuk membantu ibu bapa yang tidak dapat mendaftarkan anak mereka akibat SOP terbaru kerajaan negeri berhubung kemasukan semua warganegara, termasuk orang Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan ke negeri itu.

“Sukarelawan Sarawak akan membantu pelajar setibanya mereka di lapangan terbang ke pusat matrikulasi masing-masing,” katanya sambil menambah terdapat 1,145 pelajar yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran mereka di 16 pusat matrikulasi di seluruh negara.

Katanya, maklumat lanjut boleh didapati di Facebook Sukarelawan Sarawak.

Terdahulu, kerajaan negeri dilapor memutuskan mulai 1 hingga 14 Ogos ini, semua warganegara termasuk orang Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di stesen kuarantin setibanya mereka di Sarawak dan disaring untuk Covid-19.

Mereka dibenarkan pulang jika hasil ujian saringan itu ialah negatif.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/07/29/pembukaan-semula-213-sekolah-di-3-daerah-sarawak-ditunda-lagi/

COMMENTS