Cara ganti puasa jika terlupa bilangan hari yang patut diganti

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Pengakhiran Bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan semakin dekat. Sepanjang bulan ini, ibadah puasa diwajibkan sebagai salah satu dari rukun Islam.

Apabila seseorang meninggalkan puasa Ramadan atas sebab-sebab tertentu,

Dia wajib menggantikannya sebelum tiba Ramadan tahun berikutnya mengikut jumlah hari yang ditinggalkan.

Cara ganti puasa jika terlupa bilangan hari yang patut diganti

Namun, bagi mereka yang meninggalkan puasa termasuklah kaum Hawa yang mendapat haid, terkadang bilangan hari puasa yang perlu diganti menjadi samar-samar kerana telah terlupa.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan dalam situasi ini? Ini penjelasan dari Jabatan Mufti Terengganu. Secara ringkasnya, orang yang lupa dalam hal ibadah, dia diperintahkan untuk mengambil yang lebih meyakinkan.

Dasar hukum ini boleh diperoleh daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang berkaitan dengan orang yang lupa bilangan rakaat solat.

Orang yang solat Zohor dan lupa sama ada dia telah mengerjakan dua rakaat atau tiga rakaat, dia wajib memilih dua rakaat kerana itu yang lebih meyakinkan.

Orang yang melakukan tawaf dan lupa sama ada dia sudah melakukan lima kali putaran atau enam kali, dia wajib memilih yang lebih sedikit iaitu lima kali putaran kerana itu lebih meyakinkan.

Dalam kes puasa Ramadan, contohnya, jumlah puasa yang perlu diganti yang diragukan adalah antara dua atau tiga hari, maka ambil yang lebih iaitu tiga hari kerana itu bilangan yang lebih meyakinkan.

Sekiranya seseorang itu berpuasa lebih dari yang diwajibkan, ia tidak akan sia-sia kerana dia tetap akan mendapat pahala puasa sunat. Ibnu Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni, menyatakan bahawa apabila tanggungan puasa sangat banyak, seseorang itu wajib terus-menerus melakukan qada.

Jika dia tidak tahu berapa jumlah hari yang menjadi kewajipan puasanya, maka dia wajib mengulangi qada’ puasa sampai dia yakin telah menggugurkan seluruh tanggungannya.

Ibnu Qudamah juga menyebutkan riwayat dari Imam Ahmad yang menyatakan bahawa seseorang itu hendaklah mengulangi qada’ puasa sampai tidak lagi ragu-ragu bahawa dia telah melakukan apa yang telah dia lupakan. Dia hanya perlu melakukan yang wajib sahaja.

Baca Juga Pembeli kecewa donut yang dibeli rupanya roti burger dicelup coklat