Bursa Malaysia susut awal pagi, kurang penyertaan pelabur

Oleh MHDAILY

Bursa Malaysia susut ketika dibuka pagi ini, mengambil petunjuk daripada kelemahan Wall Street pada penutupan Jumaat lepas serta kekurangan penyertaan pelabur.

Pada jam 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.75 mata kepada 1,616.26 selepas merosot 1.66 mata kepada 1,625.35 ketika dibuka berbanding 1,627.01 pada penutupan Jumaat lepas.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 278 berbalas 186 sementara 310 kaunter tidak berubah, 1,322 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Jumlah dagangan ialah 419.16 juta unit bernilai RM149.36 juta.

Ketua strategi pasaran global Axi, Stephen Innes berkata Wall Street merosot pada hari Jumaat kerana kehilangan besar dalam perbelanjaan runcit AS pada bulan Disember.

Sementara itu, Malacca Securities pula menyatakan dengan pengunduran harga minyak sawit mentah, diikuti oleh spekulasi kemungkinan berlakunya satu lagi pusingan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Rabu ini, para pelabur dijangka mengurangkan lagi pegangan mereka dalam saham berwajaran tinggi seperti perladangan dan perbankan.

Tindakan ini boleh mencetuskan sentimen urus niaga yang negatif dalam kalangan saham perbankan dan boleh mengheret turun FBM KLCI minggu ini.

“Juga, sentimen pasaran mungkin tetap lemah dalam situasi peningkatan kes Covid-19 yang berterusan walaupun dengan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Namun begitu, firma penyelidikan itu mengharapkan beberapa kegiatan segmen berpilih terutamanya dalam bahan binaan di celah-celah pengukuhan harga komoditi seperti timah, besi dan aluminium.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, 18 kaunter berada dalam kerugian, didahului oleh PetChem, yang turun 21 sen kepada RM7.30, Maybank dan CIMB masing-masing susut 10 sen kepada RM81.5 dan RM4.00, sementara Public Bank lebih rendah 24 sen kepada RM20.96.

Sebaliknya, Supermax naik lapan sen kepada RM6.78 dan Top Glove meningkat dua sen kepada RM6.44.

Untuk saham paling cergas, Pegasus Heights tidak berubah pada 2.5 sen, PRG Holdings meningkat 1.5 sen kepada 30 sen dan Asia Poly naik dua sen kepada 32 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 65.21 mata kepada 11,641.13, Indeks FBMT 100 susut 66.82 mata kepada 11,373.71, dan Indeks FBM Emas Shariah menyusut 32.35 mata kepada 13,172.34.

FBM 70 pula jatuh 52.53 mata kepada 14,775.88 sementara FBM ACE meningkat 17.37 mata kepada 10,813.48.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah 174.46 mata kepada 14,856.92 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.11 mata kepada 177.69 sementara Indeks Perladangan turun 5.38 mata kepada 7,359.98 –SK