Bulan lepas layan penumpang macam ‘pengganas’, kali ini kakitangan syarikat penerbangan gelar penumpang ‘anjing’ pula!
kakitangan Lapangan Terbang Changi, Singapura yang berkhidmat untuk syarikat penerbangan China Southern digantung tugas
susulan tular video memaparkan dia didakwa menggelar seorang penumpang ‘anjing’ baru-baru ini.
Syarikat penerbangan itu sudah memohon maaf secara terbuka kepada penumpang berkenaan dan mengeluarkan satu kenyataan bagi memberi penjelasan berhubung insiden tersebut menerusi akaun rasminya di platform WeChat pada Sabtu.
Menurut laporan media China, pada hari kejadian, penumpang yang dikenali sebagai Yuan sedang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Changi untuk penerbangannya ke Chongqing, China pada 23 Mei.
Yuan difahamkan meminta untuk menukar tempat duduknya dengan seorang kakitangan di kaunter tersebut.
Dia diberitahu bahawa bayaran tambahan akan dikenakan untuk tempat duduk berhampiran pintu keluar kecemasan, namun Yuan mendakwa tiada penjelasan lanjut diberikan oleh kakitangan itu.
Bagi mendapatkan penjelasan, lelaki tersebut pergi ke kaunter daftar masuk yang berbeza untuk bertanya sama ada terdapat mana-mana pekerja yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin.
Walaupun dia terdengar ada beberapa kakitangan bertutur dalam bahasa Mandarin dalam kalangan mereka, Yuan mendakwa seorang pekerja lelaki berpura-pura tidak memahami bahasa tersebut dan enggan menjawab pertanyaannya.
Tambahnya, seorang kakitangan wanita yang berada di situ turut menyatakan bahawa mereka sedang sibuk sedangkan Yuan mendakwa hanya dia satu-satunya pelanggan di kaunter daftar masuk tersebut pada ketika itu.
“Tidakkah anda lihat kami sibuk?” soalnya dalam bahasa Mandarin.
Menurut laporan The Paper, Yuan berkata, dia berasa didiskriminasikan kerana bertutur dalam bahasa Mandarin.
Dalam pada itu, dia turut bertanya nama serta nombor pekerja anggota kakitangan lelaki tersebut, sambil merakam perbualan mereka menggunakan telefon pintarnya.
Pada ketika itu, kakitangan berkenaan menyerang Yuan secara lisan dengan memanggilnya ‘anjing’ dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis.
Namun, video insiden yang dikongsikan di media sosial tidak berjaya merakam penghinaan yang dilontarkan oleh kakitangan itu.
Mereka bagaimanapun didengar berkata, “Jika kau ingin menjadi seekor anjing, aku layan kau macam seekor anjing. Itu mudah,” katanya.
Sementara itu, syarikat China Southern Airlines Singapore menerusi kenyataan rasmi memaklumkan, kakitangan terbabit merupakan seorang pekerja ejen perkhidmatan darat tempatan yang bekerja di bawah kontrak dengan syarikat penerbangan tersebut.
Syarikat itu sedia maklum bahawa bahasa yang digunakan tidak wajar sama sekali dan menambah bahawa ia sudah mengarahkan ejen tersebut untuk melarang pekerja itu daripada berkhidmat dengan penerbangannya.
BACA: