Menjadi pendidik nampak mudah di mata orang, tetapi hanya mereka yang menjalankan tugas itu tahu betapa beratnya beban yang dipikul.
Tugas seorang guru bukan hanya sekadar mengajar, tetapi kadangkala mereka perlu berperanan seperti seorang ibu atau bapa
Terutama dalam mendidik pelajar-pelajar di sekolah rendah. Kanak-kanak ini lebih mudah didekati dengan kasih sayang dan perhatian.
Bagi seorang guru, pengalaman yang dialami dahulu tidak dijadikan alasan untuk membalas dendam terhadap pelajar.
Sebaliknya, mereka memilih untuk membalas dengan kata-kata yang menyenangkan.
Walaupun isu ini mungkin hanya melibatkan nilai buku, tetapi kesan dari kata-kata boleh menyentuh hati anak-anak kecil dan terus bermain di fikiran mereka.
Ini adalah kisah mengenai dendam yang akhirnya terbalas, yang telah saya simpan selama lebih 10 tahun.
Tadi, semasa di dalam kelas (darjah 2), tiba-tiba seorang pelajar datang ke depan dan berbisik kepada saya dengan muka runsing,
“Teacher, saya belum beli buku lagi. Mak saya kata, bila mak saya dah gaji baru mak akan belikan.”
“Okay, takpe. Boleh je,” jawab saya sambil tersenyum.
Pelajar itu kembali ke tempat duduk dengan wajah gembira dan ceria.
Kenapa saya sebut dendam? Sebab 13 atau 14 tahun lalu, saya pernah mengucapkan kata-kata yang sama seperti apa yang pelajar saya ucapkan hari ini.
Dulu, hidup kami agak susah, tetapi guru kelas saya, yang juga guru penasihat Puteri Islam, tidak henti-henti memaksa saya untuk membeli buku log Puteri Islam yang berharga RM9. Jangan anggap ‘RM9 je’, kerana ada orang yang hidup mereka susah dan tidak mampu membelinya.
Buku log itu bagi saya tidak begitu penting, tetapi cikgu itu memilih untuk menekan saya, walaupun dia tahu betapa susahnya keluarga kami untuk meneruskan kehidupan.
Saya masih ingat dengan jelas waktu itu. Cikgu sedang menampal kertas di papan kenyataan. Sama seperti yang pelajar saya buat hari ini, saya pergi kepada cikgu dan berbisik,
“Cikgu, boleh tak kalau saya tak beli dulu buku log itu? Mak saya kata kalau mak saya dah mampu, baru mak beli. Mak saya belum mampu lagi.”
Dengan mencebik, cikgu itu berkata, “RM9 pun tak mampu?”, sambil terus menampal kertas tanpa memandang wajah saya.
Hati saya terasa hancur ketika itu. Saya masih ingat apa yang cikgu katakan hingga hari ini, suara dan wajahnya, serta apa yang sedang dilakukannya. Semua sangat jelas dalam ingatan saya.
Hari ini, saya berasa puas kerana dendam saya telah terbalas. Walaupun saya tidak lagi mengalami perlakuan seperti itu dari cikgu, tetapi saya ingin memastikan tiada anak kecil yang mengalami perkara yang sama.
Selama lebih 10 tahun, saya bertekad untuk memastikan apa yang terjadi kepada saya tidak berlaku kepada budak-budak lain. Dan hari ini, saya berasa puas kerana saya telah berjaya membantu seorang anak kecil agar tidak merasai apa yang saya rasai dahulu.
Saya gembira kerana saya dapat memberikan apa yang saya harap dapat diterima dahulu, kepada anak murid saya sekarang. Sedikit kata “ok takpe” yang saya perlukan dari cikgu dulu, saya kini mampu berikan kepada anak murid saya.
Walaupun hanya seorang yang saya dapat bantu hari ini, saya berharap tiada orang dewasa yang menyentuh emosi anak ini seperti mana emosi saya disentuh dahulu.
Kawan, tolonglah budak-budak bukan hanya dengan wang, makanan, atau mainan. Kata-kata anda juga memberikan kesan. Kata-kata yang anda mungkin lupakan dalam beberapa minit, akan diingati oleh kanak-kanak hingga dewasa. Gunakanlah saya sebagai contoh terdekat.
Anak-anak tidak sepatutnya ingat hanya lagu atau cerita yang anda sampaikan, tetapi mereka akan ingat segala yang melukakan. Dan kanak-kanak tidak layak untuk dilukai.
Kepada lebih ramai Balqis di luar sana, semoga kamu baik-baik sahaja. Dan saya akan terus membantu, walaupun hanya dengan kata-kata.