Profesion sebagai tukang batu mungkin kurang diminati rakyat Malaysia, dan jika ada pun, bilangannya sangat sedikit.
Namun, persepsi ini mungkin berubah selepas melihat tawaran gaji lumayan dari syarikat di United Kingdom (UK) untuk tukang batu terlatih.
Seorang pengguna TikTok, @gamispukak,telah berkongsi video suasana bekerja sebagai tukang batu di sebuah syarikat di UK.
Apa yang mencuri perhatian adalah kapsyen videonya, yang mendedahkan tukang batu di sana boleh memperoleh sehingga RM900 sehari.
Malah, gaji minimum harian bermula sekitar £146 (kira-kira RM850) bagi individu profesional dalam bidang ini.
Dalam video tersebut, lelaki itu menunjukkan dirinya sedang menyusun batu-bata, membersihkan serpihan simen lama, dan meratakan permukaan yang diperlukan—tugas-tugas asas seorang tukang batu.
Lelaki ini dipercayai mewakili sebuah pusat latihan berpusat di Sabah yang menyediakan program melatih bakat tempatan sehingga mencapai tahap profesional, seterusnya diterima bekerja dengan syarikat besar di UK.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian meluas, dengan ramai rakyat Malaysia meluahkan minat untuk menceburi bidang ini. Ramai melihatnya sebagai peluang untuk memperbaiki kehidupan keluarga berkat gaji yang lumayan.
Bagaimanapun, lelaki tersebut mengingatkan bahawa sesiapa yang berminat perlu bersungguh-sungguh menjalani latihan sehingga berjaya.
Beberapa netizen turut menasihatkan untuk berfikiran rasional, mengambil kira kos sara hidup dan cukai tinggi di UK.
Namun, ada juga yang berkongsi pengalaman bahawa banyak keperluan asas pekerja sering ditanggung oleh syarikat, menjadikan gaji yang diterima lebih bernilai.
BACA: Exco Selangor dedah cara warga asing boleh dapat lesen meniaga