Bumi dijangka mempunyai ‘bulan kedua’ buat sementara waktu apabila sebuah asteroid kecil
mula mengorbit planet ini pada akhir September, lapor United Press International (UPI).
Asteroid tersebut dikenali sebagai 2024 PT5, berasal dari jaluran asteroid Arjuna.
Menurut penyelidik di Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System (ATLAS) yang dibiayai oleh NASA,
ia merupakan sistem pemantauan asteroid yang beroperasi di Afrika Selatan.
Penyelidik menjelaskan bahawa tarikan graviti Bumi akan menarik ‘bulan mini’ ini
ke arah planet dan ia akan mengorbit Bumi selama hampir dua bulan, bermula dari 29 September hingga 25 November.
Walaupun terdapat beberapa objek yang pernah memasuki orbit Bumi sebelum ini, kebanyakan daripada mereka tidak melengkapkan putaran penuh dan tidak berfungsi seperti Bulan sebenar.
Para saintis meramalkan bahawa asteroid ini akan kembali semula pada tahun 2055.
Walaupun fenomena ini menarik perhatian ramai, asteroid 2024 PT5 tidak akan dapat dilihat dengan mata kasar atau melalui teleskop biasa yang digunakan di rumah.
Penyelidik utama dan Profesor dari Universidad Complutense de Madrid, Carlos de la Fuente Marcos, menyatakan bahawa 2024 PT5 akan berada pada jarak kira-kira 2.8 juta batu dari Bumi dan bergerak pada kelajuan sekitar 2,200 batu sejam, membolehkannya dipengaruhi oleh tarikan Bumi untuk sementara waktu.
“Dalam keadaan ini, tenaga geosentrik objek mungkin menjadi negatif, dan objek itu boleh berfungsi sebagai Bulan sementara bagi Bumi.
“Asteroid ini akan melalui proses tersebut bermula minggu depan dan berterusan selama kira-kira dua bulan. Ia tidak akan mengikuti orbit penuh mengelilingi Bumi,” kata Marcos, yang telah memantau aktiviti asteroid itu selama beberapa minggu.