Sebuah video memaparkan seorang suami sedang memarahi isterinya di rumah menjadi tular di media sosial.
Rakaman itu dimuat naik sendiri oleh si isteri, menunjukkan suaminya meluahkan rasa tidak puas hati
Terhadap tugas rumah tangga yang dirasakan tidak dijalankan dengan baik.
Dalam video itu, suasana tegang kelihatan di ruang tamu rumah dengan seorang anak kecil bermain tanpa menyedari pertengkaran antara ibu bapanya.
“Bukan aku saja yang maki kau, ‘ustaz S’ pun maki kau. IPD pun maki kau, tahu tak?
Perangai kau bodoh, tak matang langsung,” ujar suami dalam nada kasar, menyambung dengan menyatakan dirinya
sudah menanggung banyak beban dan meminta isterinya menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik.
Difahamkan, punca pertengkaran ini berkaitan rumah yang bersepah dengan mainan anak-anak, serta sikap isteri yang sering mengadu keletihan mengemas rumah selepas bekerja.
“Penat sikit tak boleh. Aku buat dua hingga tiga kerja dekat luar, balik tak pernah aku cerita penat-penat macam kau,” luah lelaki itu lagi.
Sepanjang video, si isteri dilihat tidak memberikan respons terhadap kemarahan suaminya, namun terus merakam. Suaminya yang menyedari tindakan itu tidak menghalang, malah mencabar isterinya untuk berkongsi rakaman tersebut dengan ibu mertuanya.
RESPON NETIZEN
Video yang meraih lebih 1.6 juta tontonan di TikTok ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. Ada yang tidak bersetuju dengan cara suami memberi teguran secara kasar, namun tidak kurang juga yang menyokong pandangannya.
Seorang netizen menulis, “Geram tengok mainan bersepah. Rasa nak pergi kemaskan terus.”
Namun, ada yang menasihati agar suami lebih lembut dalam menangani situasi, “Kasihan isteri. Kalau isteri mengadu penat, kerapkan peluk dan cakap dengan lembut.”
Sebaliknya, seorang lagi berpendapat, “Saya berpihak kepada suami. Kita kena pandai bahagi masa. Anak tidur, kita berkemas. Suami kerja panas-panas dekat luar lagi penat.”
Kisah ini sekali lagi mengingatkan betapa pentingnya komunikasi yang baik antara pasangan dalam menguruskan tekanan rumah tangga.