Perubatan tradisional menggunakan khidmat pawang atau bomoh terus menjadi alternatif bagi segelintir individu,
terutamanya mereka yang masih menghadapi masalah kesihatan berterusan meskipun selepas menjalani rawatan klinikal.
Namun, amalan ini sering dikaitkan dengan kepercayaan khurafat yang masih diamalkan segelintir masyarakat.
Seiring kemajuan teknologi, ada pengamal perubatan tradisional yang kini menawarkan perkhidmatan mereka secara dalam talian,
Termasuk melalui platform media sosial seperti TikTok.
Fenomena ini telah menimbulkan kebimbangan, terutamanya mengenai pendedahan maklumat peribadi oleh pengguna yang mudah terpengaruh.
Seorang wanita dikenali sebagai Liana berkongsi pengalaman melihat sesi “rawatan” yang dilakukan secara langsung di TikTok.
Dalam video tersebut, seorang bomoh dikatakan menggunakan asap kemenyan untuk membantu proses rawatan, sambil berinteraksi dengan penontonnya.
“Dia minta penonton yang nak buat rawatan jarak jauh beri nama penuh dan nama ibu. Mengejutkan, ramai betul yang beri maklumat peribadi tanpa ragu-ragu,” kata Liana.
Risiko Maklumat Disalahgunakan
Menurut Liana, tindakan memberikan maklumat seperti nama penuh dan nama ibu membuka peluang kepada penyalahgunaan data. Bomoh tersebut didakwa bukan sahaja menggunakan maklumat itu untuk tujuan tidak jelas, tetapi juga menerima hadiah dalam talian (gifts) dan mengumpul tontonan secara strategik.
“Tak takut ke kalau maklumat tu disalah guna? Kalau ada yang berniat jahat, hantar sihir atau santau, kesannya boleh membahayakan. Sepatutnya lebih berhati-hati,” tambahnya.
Bomoh atau Perawat?
Ramai netizen turut menyuarakan kebimbangan tentang trend ini. Ada yang mempersoalkan keaslian “perawat” tersebut, memandangkan amalan seperti pengasapan kemenyan dan penggunaan nama penuh pesakit sering dikaitkan dengan unsur khurafat dan kebergantungan kepada jin.
“Kalau guna kemenyan, itu dah jelas bomoh. Rawatan jarak jauh yang melibatkan asap-asap begini memang boleh membawa kepada syirik,” komen salah seorang pengguna.
Bahaya Penipuan dan Khurafat
Kesedaran perlu ditingkatkan agar masyarakat tidak mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan perkhidmatan perubatan yang tidak sahih, terutama di media sosial.
Tindakan memberikan maklumat peribadi tanpa usul periksa bukan sahaja berisiko disalahgunakan untuk jenayah, malah boleh membawa implikasi dari segi akidah.
Sebagai langkah pencegahan, pengguna dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mendapatkan rawatan daripada sumber yang diiktiraf sahaja, terutamanya apabila berurusan secara dalam talian
BACA: Pasang niat meninggal di Mekah boleh masuk syurga ke? Ini jawapan Ustaz