Boleh jatuh hukum haram dan berdosa jika Ibu bapa suka membeza-bezakan anak

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Setiap anak adalah anugerah yang unik dengan karakter dan keperibadian yang berbeza.

Namun, perbezaan ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membanding-bandingkan mereka, apatah lagi bersikap pilih kasih.

Malangnya, ramai ibu bapa tanpa sedar melakukannya, sama ada melalui perhatian, layanan, atau pemberian hadiah yang tidak seimbang.

Sebagai ibu bapa, kita perlu bermuhasabah. Sikap pilih kasih bukan sahaja melukakan hati anak-anak, tetapi juga boleh membawa kepada dosa.

Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, menegaskan bahawa sikap melebihkan seorang anak hingga memudaratkan anak-anak lain adalah perbuatan yang haram.

Boleh jatuh hukum haram dan berdosa jika Ibu bapa suka membeza-bezakan anak

Menurut Ustaz Azhar, ibu bapa dituntut berlaku adil dan menyamakan pemberian kepada semua anak, melainkan terdapat sebab yang munasabah yang membolehkannya. Beliau merujuk fatwa yang menyatakan:

“Jika seseorang ibu atau bapa melebihkan salah seorang anak dengan niat untuk memudaratkan anak lain, maka ia berdosa kerana berniat zalim.”

Pilih Kasih Dibenci Agama
Laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan turut menekankan bahawa pilih kasih adalah perkara yang dibenci dalam Islam. Perbuatan ini hanya mengundang kebencian dalam keluarga, terutamanya antara adik-beradik.

Dalam sebuah riwayat, Nabi Muhammad SAW menegur tindakan seorang bapa, Nu’man bin Basyir, yang ingin memberikan hadiah kepada seorang anaknya secara tidak adil. Rasulullah bersabda:

“Janganlah berbuat demikian. Adakah kamu suka semua anakmu berlaku baik kepadamu? Maka berlaku adillah kepada mereka.”

Kasih Sayang: Hak Asasi Anak

Hak anak-anak bukan hanya terhad kepada pemberian material, tetapi juga emosi dan kasih sayang.

Ibu bapa perlu menunjukkan kelembutan, bercakap dengan kata-kata yang baik, dan memberikan kegembiraan kepada anak-anak. Inilah cara untuk memenuhi tuntutan agama dalam menjaga hak mereka.

Anak-anak adalah amanah yang perlu dijaga dengan adil dan penuh kasih sayang.

Dengan bersikap adil, kita bukan sahaja menjaga keharmonian keluarga, tetapi juga memenuhi tanggungjawab besar sebagai ibu bapa yang dituntut dalam agama.

BACA: Rupanya tak boleh letak dompet di poket belakang! Ini sebabnya

Leave a Comment