Sardin merupakan salah satu jenis hidangan yang sangat diminati oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia tidak kira umur mahupun bangsa.
Bukan sahaja sangat mudah untuk dimasak, hidangan yang berasaskan sardin juga sering menjadi lauk pilihan di setiap hujung bulan kerana poket sudah mula ‘kering’.
Sangat membantu menjimatkan perbelanjaan, kuah sardin juga boleh disimpan jika tidak dihabiskan lalu dijadikan bahan pencicah untuk roti canai atau roti buku.
Membangkit selera seisi keluarga, berikut kami kongsikan resepi sambal tumis sardin berdasarkan satu hantaran pengguna Facebook bernama Siti Hazneza Abdul Hamid.
“Seperti dijanjikan, ini resepi dari ibu saya iaitu Sambal Tumis Sardin. Enak dimakan bersama nasi putih kosong atau nasi tumis (dimasak dengan bawang besar goreng).
“Sambal tumis ini juga sangat sesuai dijadikan sebagai pencicah untuk roti chapati ataupun naan,” jelas Hazneza menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya itu.
Bahan-bahan
Dua tin sardin
Dua sudu makan asam jawa (jenis biji)
Satu setengah biji bawang besar (putih)
Tiga sudu serbuk cili atau cili kering (mengikut selera)
Langkah-langkah
1. Asingkan sardin daripada sos. Kemudian buang tulangnya. Biarkan sahaja tulang ikan tersebut jika anda tidak mahu membuangnya (bergantung kepada selera).
2. Jangan lupa simpan dahulu sos di dalam tin. Kerana kita akan menggunakan sedikit sos daripada sardin berkenaan.
3. Kemudian, kisarkan sebiji bawang besar yang sudah disediakan bersama beberapa batang cili kering (mengikut selera).
4. Goreng dahulu sardin yang sudah dibuang tulang (tanpa kuah). Sila berhati-hati ya kerana titisan kuahnya akan menyebabkan minyak menjadi meletup-letup.
5. Ketepikan sardin yang sudah digoreng untuk seketika. Kemudian menggunakan minyak sama, boleh mula tumiskan bahan yang sudah dikisar terlebih dahulu.
6. Masak bahan kisar sampai pecah minyak atau sehingga timbul lubang-lubang di permukaan sambal.
7. Kemudian, tambahkan empat sudu makan sos dalam tin. Dua sudu makan jus asam jawa, tiga sudu teh garam, dua sudu makan gula dan kacau sehingga sebati.
8. Tambahkan dua sudu makan kicap lemak manis untuk naikkan warna sambal mengikut selera anda masing-masing.
9. Hiris lebihan setengah lagi bawang besar secara nipis-nipis. Tambahkan di dalam sambal kemudian sambung tumis sehingga bawang menjadi layu.
10. Akhir sekali, masukkan sardin yang telah goreng tadi dan kacau secara perlahan-lahan supaya ikan tidak hancur.
11. Kalau mahu tampak lebih ‘mewah’, anda boleh pecahkan beberapa biji telur kemudian tutup sebentar sambal dengan penutup periuk hingga masak.
Baca juga: Ini yang bakal terjadi kalau kita cabut satu persatu ‘rambut’ yang ada pada tayar