Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan untuk menjelaskan beberapa dakwaan
Dan kesalahan fakta yang sedang berkembang berkaitan dengan urusan Quantum Metal Sdn. Bhd (QMSB).
Sebelum ini, terdapat dakwaan bahawa perniagaan QMSB telah mendapat pengesahan dan lesen daripada BNM.
QMSB merupakan institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).
Dalam kenyataan tersebut, dijelaskan bahawa QMSB terlibat dalam urusan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA.
Ini termasuklah sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan seperti peguam, akauntan, syarikat amanah, dan setiausaha syarikat.
Sebagai institusi pelapor, QMSB diwajibkan melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan penyalahgunaan institusi tersebut sebagai saluran untuk aktiviti pengubahan wang haram atau pembiayaan pengganas.
Namun, walaupun QMSB mempunyai status sebagai institusi pelapor, ini tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaan seperti produk dan dagangan emas mereka adalah didaftarkan, diluluskan, atau dilesenkan di bawah undang-undang pengurusan BNM.
Kenyataan tersebut juga menegaskan bahawa sebarang dakwaan yang menyatakan aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM adalah tidak benar.
BNM turut maklumkan bahawa terdapat dakwaan di media sosial mengenai keperluan kelulusan dan pengesahan mereka bagi semua transaksi masuk dari luar negara berkaitan dengan AMLA.
Menurut BNM, sebarang aliran dana masuk ke negara kecuali untuk tujuan peminjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu di bawah dasar pertukaran asing tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan BNM.
Selain itu, BNM menekankan agar semua pihak tidak menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM untuk mengelakkan salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka mendapat kelulusan BNM.
BNM menambahkan bahawa dakwaan yang berkaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya menjadi satu-satunya pertimbangan untuk menilai kesahihan sesuatu perniagaan.
Akhir sekali, BNM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan pelaburan dan menyatakan bahawa sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran harus dilaporkan kepada pihak yang berkenaan.