Pemain bola sepak Zaquan Adha baru-baru ini menerima mesej daripada suami pembantu rumahnya yang melarikan diri pada hari Rabu.
Isteri Zaquan, pelakon Ayu Raudhah, 39, berkata bahawa lelaki tersebut memberi amaran agar mereka berhati-hati
dengan wanita tersebut, yang telah merancang untuk melarikan diri bersama kekasih gelapnya.
Malangnya, kata Ayu, mesej tersebut dihantar selepas wanita itu dan seorang lagi pembantu rumahnya melarikan diri dari kediaman mereka di Seremban, Negeri Sembilan.
“Lelaki tersebut menghantar mesej kepada Zaquan untuk memberitahu kami agar berhati-hati kerana dia mendapat tahu isterinya mahu melarikan diri selepas menerima gaji.
“Suami pembantu rumah saya ini kini berada di Indonesia dan mendakwa isterinya itu curang serta mahu melarikan diri bersama kekasih gelapnya.
“Tetapi malangnya, mesej itu dihantar setelah pembantu rumah saya melarikan diri. Jika kami tahu lebih awal, mungkin saya sudah sempat mengambil telefon dia dan menahannya,” kata Ayu menurut laporan mStar.
Ayu sebelum ini telah mendedahkan bahawa dua pembantu rumahnya telah melarikan diri dan meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki mereka.
Menurut Ayu, kedua-dua pembantu rumah itu baru sahaja bekerja dengan mereka sekitar empat bulan yang lalu.
Ayu bersyukur kerana tiada barang peribadi milik keluarganya yang hilang, tetapi dia tetap akan membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.
“Dua pembantu rumah ini mula bekerja dengan kami sejak empat bulan lalu setelah orang gaji lama berhenti untuk berkahwin.
“Pada mulanya, pihak agensi tidak mahu kami membuat laporan polis kerana takut mereka akan pulang ke rumah, tetapi suami tetap akan membuat laporan,” katanya.
Ketika kejadian, Ayu berada di rumah kakaknya, pelakon Rozita Che Wan, bagi menjalani proses berpantang anak keenamnya.
Kehilangan kedua-dua pembantunya hanya disedari selepas Zaquan pulang mengambil anak-anak mereka dari sekolah.
“Zaquan sepatutnya muncul dalam sebuah program televisyen tetapi terpaksa membatalkan penampilannya akibat kejadian ini.
“Saya terus bergegas pulang ke Seremban. Keadaan agak kelam-kabut tetapi syukur semuanya dalam keadaan baik,” jelasnya.
Sementara itu, Ayu berkata dia tidak serik untuk mengambil pembantu rumah dan menganggap kejadian ini sebagai ujian.
Apa yang berlaku, kata Ayu, adalah disebabkan sikap manusia dan tidak adil untuk melabel golongan ini dengan panggilan tertentu hanya kerana segelintir daripada mereka membuat masalah.
“Sikap manusia itu berbeza-beza. Sebelum ini, saya ada pembantu yang baik dan amanah.
“Sejak berkahwin dengan Zaquan, saya tidak pernah kekurangan pembantu rumah. Bahkan sebelum mendapat anak lagi, Zaquan sudah mengambil pembantu,” ujarnya.
BACA: Tak puas hati kalah PRK, Pengerusi Bersatu Kelantan nekad fail petisyen