Sejak tayangannya pada 26 Disember lalu, musim kedua siri Netflix Squid Game terus menggemparkan dunia dan menjadi topik hangat perbualan di kalangan penonton global.
Namun, di sebalik populariti yang meluas, timbul pula teori yang mengaitkan siri ini dengan satu tragedi gelap yang berlaku di Korea Selatan pada 1980-an.
Mengapa Squid Game Dikaitkan Dengan Brothers’ Home?
Squid Game mengisahkan tentang individu-individu yang terjerat dalam masalah kewangan, yang mengambil bahagian dalam permainan kanak-kanak tradisional dengan harapan untuk memenangi hadiah wang tunai besar
Namun, mereka tidak menyangka bahawa untuk mendapatkan wang tersebut, mereka terpaksa mempertaruhkan nyawa mereka dalam perlawanan hidup dan mati.
Cerita ini dikaitkan dengan insiden tragis yang berlaku pada tahun 1986, dikenali sebagai “Kes Brothers’ Home,” yang melibatkan kem tahanan di Korea Selatan.
Tragedi Brothers’ Home: Penderitaan Yang Tidak Terungkap
Brothers’ Home atau lebih dikenali sebagai Brothers Welfare Center, pada mulanya berfungsi sebagai rumah kebajikan untuk golongan gelandangan, pengemis, anak yatim, orang kurang upaya, dan mereka yang dianggap ‘tidak diingini’ dalam masyarakat. Namun, di sebalik nama kebajikan itu, ia menjadi tempat penyeksaan dan eksploitasi yang mengerikan.
Pada era 1980-an, Korea Selatan berada di bawah pemerintahan autoritarian yang keras, dan kerajaan berusaha untuk ‘membersihkan’ bandar-bandar menjelang Sukan Olimpik Seoul 1988. Dalam usaha tersebut, pihak berkuasa menangkap golongan yang dianggap tidak berguna, seperti gelandangan, kanak-kanak jalanan, dan orang kurang upaya, lalu menghantar mereka ke Brothers’ Home tanpa melalui proses undang-undang yang sah.
Penyeksaan Tanpa Henti: Trauma Yang Terus Membekas
Tahanan-tahanan di Brothers’ Home diperlakukan dengan sangat kejam. Mereka dipaksa bekerja tanpa bayaran, diseksa, dan dipukul jika cuba melarikan diri. Keadaan yang begitu buruk menyebabkan ramai yang mati akibat penderaan dan kekurangan zat makanan, dengan lebih 500 kematian dicatatkan. Mayat-mayat tersebut dibakar secara rahsia, dan organ-organ mereka dijual ke hospital.
Skandal ini terbongkar pada tahun 1986 apabila seorang pendakwa raya, Kim Yong-won, mula menyiasat selepas mendengar khabar angin mengenai penganiayaan yang berlaku di sana. Walaupun banyak bukti yang menguatkan dakwaan, banyak pegawai yang terlibat tidak dihukum, dan pengarah Brothers’ Home, Park In-geun, hanya dihukum penjara dua setengah tahun.
Benarkah Squid Game Berdasarkan Tragedi Brothers’ Home?
Walaupun ada yang mengaitkan Squid Game dengan tragedi Brothers’ Home, pengarahnya, Hwang Dong Hyuk, menjelaskan bahawa inspirasinya datang dari filem-filem Jepun seperti Battle Royale dan Liar Game. Latar belakang watak utama, Seong Gi-hun (Pemain 456), lebih kepada peristiwa mogok pekerja Ssangyong Motors pada tahun 2009.
Namun, meskipun Squid Game bukanlah adaptasi langsung daripada kejadian sebenar seperti di Brothers’ Home, kedua-dua cerita ini menggambarkan penindasan terhadap golongan yang lemah dan penderitaan akibat sistem yang tidak adil, serta perlakuan tidak berperikemanusiaan demi kepentingan pihak berkuasa atau pihak berkuasa tertentu.
Kisah Squid Game mungkin sebuah karya fiksyen, tetapi tema yang dibangkitkan mengenai penindasan dan ketidakadilan sosial tetap relevan dan memberi kesan yang mendalam, membangkitkan perbincangan tentang hak asasi manusia dan keperluan untuk membela golongan yang terpinggir.
BACA: Wanita warga emas ditahan selepas guna wang mainan untuk beli barangan harian