Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, menjelaskan mengenai hukum bagi seseorang yang melakukan dosa sehingga menyebabkan solatnya tidak diterima selama 40 hari.
Tetap Wajib Solat Walaupun Tidak Diterima
Menerusi perkongsian oleh @Fakri.hadi, Ustaz Azhar menegaskan bahawa seseorang itu
Tetap wajib menunaikan solat walaupun ibadahnya tidak diterima akibat dosa tertentu.
“Siapa yang melakukan dosa yang dalam hadis disebutkan bahawa solatnya tidak diterima selama 40 hari, dia tetap wajib untuk solat.”
Sebagai contoh, Ustaz Azhar menyebut hadis yang mengatakan sesiapa yang pergi berjumpa dengan tukang sihir, solatnya tidak diterima selama 40 hari.
Namun begitu, menurut pandangan Imam Nawawi, kewajipan menunaikan solat tetap tidak gugur walaupun tidak diterima.
“Kalau tak solat, dia tetap akan diazab di akhirat.”
Ibadah Tidak Diterima Tetapi Tidak Dituntut di Akhirat
Ustaz Azhar turut menjelaskan bahawa walaupun solat tersebut tidak diterima oleh Allah SWT, ia tidak akan dituntut semula di akhirat.
“Meskipun solat itu tidak mendatangkan pahala, ibadah solat kita ini tidak akan dituntut oleh Allah di hari kiamat kelak.”
Hal ini kerana sepanjang tempoh 40 hari tersebut, seseorang Muslim itu tetap melaksanakan kewajipan solat seperti biasa walaupun ibadahnya tidak diterima.
Penjelasan ini memberikan kefahaman bahawa dosa tertentu boleh memberi kesan kepada penerimaan solat, namun tidak menggugurkan tanggungjawab seseorang untuk terus menunaikannya.
BACA: Ipar adalah maut versi takaful, kakak ipar tak puas hati biras dapat pampasan RM300k