Bermula dengan tidak direstui keluarga, ini kisah disebalik kelahiran Grab

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Bila disebut aplikasi Grab, ramai pasti mengenali figura di sebalik kejayaannya, Anthony Tan.

Usahawan ini telah merevolusikan cara kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan

Penghantaran makanan, dan kewangan di Asia Tenggara.

Dalam wawancara bersama CBS News baru-baru ini, Anthony berkongsi pelbagai cabaran yang ditempuh sebelum Grab mencapai kejayaan seperti sekarang.

Latar Belakang Anthony Tan

Bermula dengan tidak direstui keluarga, ini kisah disebalik kelahiran Grab

Anthony dilahirkan dalam keluarga berada yang memiliki syarikat automotif terkenal, Tan Chong Motor. Namun, dia bertekad mencipta sesuatu yang unik dan bermakna. Dari keazaman itu lahirlah Grab, yang kini menjadi aplikasi popular di rantau ini.

Pada tahun 2009, semasa melanjutkan pelajaran di Harvard Business School, Anthony bertemu rakan perniagaannya, Hooi Ling Tan. Perkenalan itu melahirkan persahabatan erat di mana mereka sering berbincang dan bertukar idea.

Pada tahun 2011, mereka membincangkan isu teksi di Malaysia yang kurang mesra, terutamanya bagi wanita. Keprihatinan ini mendorong mereka mencari penyelesaian, yang akhirnya membawa kepada idea mencipta aplikasi Grab.

Permulaan Grab

Idea mereka diuji dalam pertandingan universiti dan berjaya meraih tempat kedua, bersama hadiah wang tunai $25,000 (RM105,825). Wang itu menjadi modal awal untuk membangunkan Grab.

Cabaran Awal dan Sokongan Keluarga

Perjalanan Anthony ke arah kejayaan bukan mudah. Beliau bekerja sehingga 20 jam sehari selama bertahun-tahun. Namun, cabaran terbesar datang daripada keluarganya sendiri.

Anthony mendedahkan bahawa bapanya tidak yakin dengan ideanya.
“Ayah saya tidak percaya saya akan berjaya. Dia berkata, ‘Jangan ganggu ayah dengan perkara ini lagi,’” kongsi Anthony.

Walaupun begitu, kata-kata bapanya menjadi motivasi untuk Anthony membuktikan kebolehannya.

Kejayaan Grab

Kini, Grab berkembang menjadi salah satu syarikat teknologi terbesar di Asia Tenggara, beroperasi di lapan negara dengan lebih 35 juta pelanggan. Pada tahun 2023, syarikat ini juga berjaya menyediakan 13 juta pekerjaan gig.

Grab bukan sekadar aplikasi e-hailing; ia turut menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan, barangan runcit, serta perkhidmatan kewangan seperti pembayaran, pinjaman, dan perbankan digital.

Keazaman Anthony Tan menjadi inspirasi bahawa dengan usaha gigih, kejayaan pasti dapat dicapai walau pelbagai cabaran dihadapi.

BACA: Anwar Ibrahim jawab penilaian gred ‘D’ dari BERSIH