Bermula dengan teguran didepan kedai dobi, lelaki tamatkan zaman bujang dengan wanita China

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Segalanya bermula dengan satu soalan mudah tentang tempat untuk mendobi pakaian, namun siapa sangka pertemuan itu membawa seorang usahawan Malaysia

Beliau menemui jodohnya di negara asing. Zairy Amir, 38, yang bekerja sebagai penyedia perkhidmatan penghantaran di Guangzhou, China, tidak menyangka tegurannya kepada seorang gadis tempatan akan mengubah hidupnya.

Pada musim sejuk tahun lalu, Zairy yang kesunyian di tanah asing, sedang mencari tempat untuk mencuci pakaian.

Tanpa sengaja, matanya terpandang seorang gadis bertudung yang kemudiannya diajukan soalan tentang tempat mendobi.

Wanita itu, setelah mendengar Zairy memberitahu bahawa beliau seorang Muslim, segera menunjukkan minat kerana dia dan ibunya adalah satu-satunya orang Islam di situ.

“Saya datang seorang diri ke sini untuk menguruskan perkhidmatan penghantaran kepada rakyat Malaysia, jadi apabila dia ingin berkawan dan sama-sama beragama Islam, saya rasa senang hati,” kata Zairy yang kini menetap di Baiyun, daerah terbesar di Guangzhou.

Sejak pertemuan itu, hubungan mereka berkembang. Wanita tersebut, yang dikenali sebagai Sophia Wang, 40, sering menghubungi Zairy untuk bertanya khabar, termasuk menanyakan sama ada beliau sudah makan atau belum kerana dia masak lebih setiap hari.

Walaupun pada mulanya Zairy hanya ingin menjadikan pertemuan itu sekadar perbualan biasa, namun akhirnya perhubungan mereka berkembang dengan lebih mendalam.

@taiko_borongchina Ok last episod. Season Finale Sophia Amoi China Muslim. Takde dah lepas ni. Banyak lagi nak cerita kat China ni. #borongchina #taikoborongchina #ideabisnes ♬ original sound – TAIKO BORONG CHINA

“Setiap hari dia telefon, ajak saya ambil makanannya di stesen metro. Secara perlahan, saya rasa hubungan kami semakin rapat,” tambah Zairy.

Sophia, yang berasal dari Yunnan, sudah beragama Islam sejak lahir, dan Zairy juga kerap dijemput ke rumahnya untuk makan bersama keluarganya. “Dia pernah bertanya, bolehkah saya menjadi imam untuk solat terawih ketika Ramadan. Saya rasa agak gugup kerana tak pernah jadi imam sebelum ini,” katanya, sambil ketawa mengingatkan perasaan cemasnya ketika itu.

Komunikasi antara mereka tidaklah mudah kerana Zairy tidak fasih berbahasa Cina, jadi mereka sering menggunakan aplikasi untuk menterjemah percakapan. Walaupun ada halangan bahasa, hubungan mereka tetap erat, dan Zairy memuji sifat Sophia yang sentiasa menjaga solat serta membaca al-Quran pada waktu senggang.

Hubungan mereka semakin akrab apabila Zairy menemani Sophia dalam aktiviti harian, seperti pergi ke pasar, bertemu dengan rakan-rakannya, dan turut membantu mengagihkan makanan berbuka puasa. Zairy juga sering menjemput Sophia ke tempat kerja dengan menaiki basikal elektrik, memberikan sokongan dan kasih sayang yang tidak terhingga.

Pada suatu hari, Sophia jatuh sakit, dan adiknya meminta Zairy untuk memeriksa keadaannya. Dari situlah, adik Sophia bertanya kepada Zairy, “Sudikah awak menjadi suami kakak saya?” Setelah berbincang dengan keluarga, Zairy akhirnya berkahwin dengan Sophia pada 26 Disember yang lalu.

“Tiada halangan dari keluarga saya. Semua adik-beradik saya lelaki, jadi mereka memberi saya kebebasan untuk menguruskan kehidupan sendiri,” kata Zairy yang berasal dari Klang, Selangor.

Walaupun perkahwinan mereka diadakan tanpa kehadiran keluarga kedua-dua belah pihak, Zairy dan Sophia kini bahagia menjalani kehidupan bersama di China, dan mereka tetap berhubung dengan keluarga masing-masing melalui teknologi.

Cerita cinta mereka yang bermula dengan teguran kecil ini membuktikan bahawa kadang-kadang, jodoh datang tanpa diduga, dan usaha serta ketulusan hati akan membawa kepada kebahagiaan sejati.

BACA: Jual masakan panas dari tingkap, ‘Abang tingkap’ berjuang cari nafkah walau terlantar sakit

1 thought on “Bermula dengan teguran didepan kedai dobi, lelaki tamatkan zaman bujang dengan wanita China”

Leave a Comment