Beri nama 100 ahli Amanah Batu Sapi keluar parti, cabar Amanah Sabah

Beri nama 100 ahli Amanah Batu Sapi keluar parti, cabar Amanah Sabah

Parti AMANAH Negeri Sabah meminta supaya pihak yang mendakwa seramai 100 ahli yang keluar parti di kawasan Parlimen Batu Sapi baru-baru ini memberi nama ahli terbabit dengan kadar segera.

Ini kerana, menurut Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu, setakat hari ini tiada sebarang pengesahan nama ahli yang keluar seramai 100 orang tetapi sebaliknya hanya dua sahaja.

Justeru, katanya AMANAH Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan bahawa kawasan AMANAH di Parlimen Batu Sapi telah lumpuh dan tidak berfungsi.

“Sebenarnya hanya dua ahli sahaja yang keluar iaitu bekas Pengerusi Biro Sukan Ahli Jawatankuasa (AJK) AMANAH Sabah, Dani Ganggai dan timbalannya, Juwahir Jainab yang keluar parti baru-baru ini.

“Maka, dakwaan yang mengatakan seramai 100 ahli telah keluar beramai-ramai adalah satu pembohongan dan berniat jahat,” tegas beliau di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau memberitahu, sehingga hari ini dua Ahli Jawatankuasa (AJK) yang telah keluar tidak menghantar nama 100 keahlian yang keluar parti tersebut sekali gus AMANAH masih kekal kukuh di Sabah serta sentiasa menerima keahlian daripada seluruh kawasan Parlimen di negeri ini.

“Saya menyifatkan mereka yang keluar parti ini hanya mengejar kepentingan politik dan bertujuan untuk melemahkan Parti AMANAH Negara dan negeri Sabah sahaja dan ingin mencipta persepsi bahawa Pakatan Harapan Sabah lemah namun hakikatnya tidak.

“Dan umum tahu ramai yang keluar parti tidak kira Warisan, PKR ataupun UPKO di Sabah disebabkan peralihan kerajaan di peringkat pusat,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Kawasan AMANAH Batu Sapi, Haris Bahar ketika dihubungi menyatakan supaya dua AJK yang keluar parti menunjukan bukti senarai 100 ahli yang keluar bersama mereka.

“Ini sangat penting untuk kami lihat dan menghantar senarai nama tersebut untuk dikeluarkan keahliannya daripada Parti AMANAH Negara secepat mungkin kerana kita tidak mahu ada wabak ‘talam dua muka’ dalam AMANAH di negeri ini.

“Saya juga menegaskan bahawa isu keluar parti ini adalah serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak jika didapati mereka yang keluar mencemarkan serta memfitnah AMANAH Sabah dan saya akan mengambil tindakan undang-undang untuk mereka yang terlibat,” tegas Haris

Sumber :

COMMENTS