Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara (KPDN) Kelantan
Berjaya membongkar kegiatan seleweng minyak masak bersubsidi yang berselindung di sebalik sebuah bengkel membaiki kereta.
Serbuan dibuat di lokasi kegiatan itu yang terletak di Cherang Tuli Padang Pak Amat, Pasir Puteh, pada semalam.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata serbuan ke atas lokasi itu hasil tangkapan seorang suspek yang gagal menyeludup minyak masak berkenaan apabila trak yang dipandunya terbalik selepas dikejar anggota penguat kuasa pada Isnin.
Dalam serbuan itu, anggota KPDN turut menahan pemilik bengkel berkenaan dan merampas 2,308 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi dalam paket 1 kg, 240 kg gula, sebuah trak selain tong dan peralatan bagi kegiatan terbabit.
“Sindiket ini mendapatkan bekalan minyak masak daripada beberapa syarikat pembungkus semula dari Besut, Terengganu dan Kelantan. Kita dapat kesan daripada kotak yang telah diguna pakai, dia potong minyak masak yang 1kg dan masukkan dalam tong jerikin,” kata Azman Ismail dalam sidang media di Stor Penyimpanan KPDN, Pengkalan Chepa, di sini.
(Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail ditemui pemberita dalam sidang
media di Stor Penyimpanan KPDN, Pengkalan Chepa)
Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM46,454 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Mengulas lanjut, siasatan turut mendapati suspek berusia 65 tahun itu tidak mempunyai lesen yang sah sebagai pemborong.
Menurut Azman, suspek dipercayai menggunakan tong-tong yang dilabel bahan kimia untuk mengelakkan daripada dikesan dan tidak menolak kemungkinan bekalan tersebut juga untuk diseludup ke Thailand melalui jalan laut.
BACA: Akhirnya terungkai sebab kenapa hotel guna cadar katil warna putih