Belum selesai isu LCS, status kapal OPV Maritim pula jadi tanda tanya

Oleh MHDAILY

Belum selesai isu LCS, status kapal OPV Maritim pula jadi tanda tanya. Selepas negara dikejutkan dengan kontroversi mengenai kapal tempur persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kini timbul tanda tanya mengenai status tiga kapal peronda persisir pantai (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Difahamkan, Maritim Malaysia sepatutnya menerima sebuah kapal OPV bulan ini setelah kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy Engineering (TH Heavy) untuk menyiapkan tiga kapal OPV berkenaan.

Berdasarkan laporan media pada Jun lalu, Maritim Malaysia memaklumkan agensi itu tidak menerima kapal OPV ekoran beberapa masalah tertentu.

Walau bagaimanapun katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi jaminan bahawa agensi itu akan menerima sekurang-kurangnya sebuah kapal OPV pada tahun ini.

Laporan media itu turut memaklumkan, TH Heavy yang diklasifikasikan sebagai PN17 kini menanggung kerugian terkumpul RM629.8 juta dan hutang sebanyak RM165 juta, namun memiliki aliran tunai RM27.5 juta untuk membantunya menyiapkan kapal OPV berkenaan.

Belum selesai isu LCS, status kapal OPV Maritim pula jadi tanda tanya

Justeru, pelbagai persoalan timbul mengenai kemampuan TH Heavy untuk menyiapkan tiga kapal OPV seperti yang dijanjikan.

Sementara itu penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berpandangan, kelewatan Maritim Malaysia menerima kapal OPV seperti yang dijanjikan memberi kesan kepada fungsi agensi itu untuk mengawal perairan negara dengan berkesan.

Beliau berkata, aset sedia ada yang sebahagian besarnya sudah usang dan tidak dapat berfungsi dengan baik sedikit sebanyak mengganggu peranan agensi tersebut dalam meningkatkan pemantauan serta pengawalan perairan terutama daripada pencerobohan nelayan asing.

“Kebanyakan kapal Maritim Malaysia adalah kapal lama, bekas (kegunaan) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sudah berumur 30 hingga 40 tahun.

“Jadi kalau ada OPV, boleh belayar lebih lama, sudah pasti dapat mengekang pencerobohan.

Contohnya bot peronda sedia ada, boleh belayar hanya empat hari sahaja dan pada hari kelima perlu pulang semula ke pangkalan untuk dapatkan bekalan, sudah pasti mudah ‘missed’ ronda.

Kalau ada kapal induk, mereka tidak perlu pulang ke pangkalan.

“Walaupun Maritim Malaysia masih boleh berfungsi dengan instrumen yang lain misalnya helikopter, tetapi kapal OPV ini penting dan sangat diperlukan dalam keadaan sekarang,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu Zaki berkata, kelewatan pembinaan OPV tidak sepatutnya berlaku kerana TH Heavy telah diberi satu tempoh yang lama untuk menyiapkan kapal-kapal berkenaan.

“Kita tidak mahu berlaku sepertimana nasib TLDM dalam isu kapal tempur persisir (LCS) kerana ia amat mendukacitakan.

Maritim Malaysia amat memerlukan OPV kerana kapal ini besar dan boleh belayar untuk jangka masa lebih lama kerana fungsinya sebagai kapal induk kepada kapal kecil lain.

“Kapal-kapal OPV ini juga merupakan sebahagian hasrat kerajaan untuk memperkasakan kedaulatan maritim negara,” ujarnya.

BACA:

Gadis rider cantik ni rupanya lelaki, ramai pemuda patah hati

Lelaki dedah Malakat Mall sunyi sepi, apa dah jadi mall muslim pertama ni?

Suami ‘kantoi’ curang selepas bini jumpa segumpal rambut di tandas