Bekas wartawan Melodi rebah ketika menunggu jenazah mak mertua sebelum solat jenazah

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Selepas pemergian mak mertua, lelaki ini pula dijemput Ilahi. Kedua-dua insan itu dikebumikan pada hari yang sama seolah-olah berjanji untuk pergi tinggalkan dunia pada hari yang sama.

Muhammad Zamzuri Muhamad Zaini, 50, meninggal dunia ketika sedang menunggu jenazah ibu mentuanya,

Rogayah Ahmad, 72, tiba di masjid pada Isnin. Allahyarham Muhammad Zamzuri yang lebih dikenali sebagai Ayau merupakan bekas wartawan Melodi, TV3.

Menurut bekas isteri Ayau, Alita Aris, 49, masih terkejut dengan pemergian kedua-dua individu itu yang meninggal dunia akibat serangan jantung dalam masa selang sehari.

“Ibu saya meninggal dunia pada Sabtu, tetapi jenazah dikebumikan pagi ini bagi menunggu ahli keluarga balik dari luar negara.

Bekas wartawan Melodi rebah ketika menunggu jenazah mak mertua sebelum solat jenazah

Saya fikir ini aturan Allah. Kenapa mak saya ditunda kebumi sehari, rupanya ada hikmah di sebaliknya. Hubungan ibu dan Ayau sangat baik, dan kedua-dua mereka dikebumikan pada hari yang sama,” katanya.

Menurut Alita lagi, bekas suaminya juga seorang mempunyai masalah jantung kira-kira 10 tahun lalu dan pernah terkena serangan strok pada 2019.

“Saya nampak kedua-dua ibu dan Ayau pernah berjuang menghidap kencing manis. Ibu saya sukar untuk berjalan, dan terpaksa memakai lampin pakai buang. Manakala Ayau sendiri meluahkan kekecewaannya kerana penyakit itu menyebabkan dia mengalami masalah penglihatan, nak berjalan seorang diri pun susah. Paling sedih, dia tak nampak anak lelaki sendiri dengan jelas… kena tengok dekat-dekat. Saya yang selalu bawa anak untuk berjumpa dengan dia,” ujarnya.

Kali terakhir Ayau memberi kata semangat kepada bekas isterinya itu pada pagi Isnin supaya bersabar atas pemergian ibu.

“Ayau pesan saya supaya bersabar. Dia juga beri semangat pada anak yang aktif bersukan. Mereka berbual pasal bola. Dia kata lain kali jangan takut nak skor gol. Tutup mata, ingat daddy, dan tembak bola,” katanya.

Jenazah Ayau diuruskan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor kira-kira pukul 5 petang Isnin.

Ayau meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi Isnin selepas rebah ketika berada di Masjid Al Mujahideen di Damansara Utama, Selangor, bagi menunggu jenazah ibu mentuanya untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara.

BACA: “Akibat cerita fitnah mak, adik-beradik hilang hormat kat aku, depan anak dan isteri aku dihina”