JENAMA fesyen mewah, Balenciaga baru-baru ini memperkenalkan produk terbaharunya,
Trash Pouch, yang boleh dianggap sebagai ‘beg sampah’ paling mahal di dunia berharga AS$1,790 (RM7,974).
Menerusi maklumat di laman web Balenciaga, item itu direka dan dikeluarkan sebagai sebahagian daripada Pertunjukan 360° Musim Sejuk 2022.
Pertunjukan tersebut menampilkan tema merangkumi aksesori fesyen yang melampau atau exaggerated fashion accessories.
Balenciaga juga mengesahkan bahawa reka bentuk produk kontroversi itu sememangnya diilhamkan dari plastik sampah. Namun mengapa harganya begitu mahal?
Portal New York Post melaporkan ia dibuat dari kulit anak lembu, ditambah pula dengan logo popular Balenciaga.
Beg sampah jenama Balenciaga paling mahal di dunia, harga lebih RM7,900
Hal ini mungkin tidak menghairankan kerana Balenciaga sememangnya terkenal dengan ciptaan luar kebiasaan dan eksperimen sosial.
“Balenciaga hanya mahu melihat siapa yang cukup bodoh untuk membeli barangan itu. Mereka menjual beg sampah pada harga AS$1,790. Mesti akan ada seseorang yang akan memberitahu saya ia adalah seni,” tulis seorang pengguna Twitter.
Pengarah Kreatif syarikat itu sendiri, Demna Gvasalia, dikatakan terhibur dengan idea penghasilan beg itu dan tidak mahu melepaskan peluang untuk membuat beg plastik sampah paling mahal di dunia, kerana menurutnya, “Siapa yang tidak sukakan skandal fesyen?”.