Solok lada merupakan salah satu hidangan yang cukup terkenal dan digemari oleh masyarakat berasal daripada pantai timur Malaysia.
Menjadi lauk pilihan untuk dimakan bersama nasi kerabu, hidangan ini diperbuat dari lada hijau yang telah dibelah serta dibuang bijinya sebelum disumbatkan dengan inti.
Berikutan harga cili di pasaran tempatan semakin mahal, kos penyediaan solok lada turut meningkat saban hari sehingga membuatkan harganya kian ‘tidak terjangkau’.
Seorang wanita kemudiam tampil berkongsi ilmu tentang penyediaan solok lada khusus buat mereka yang baru belajar memasak menerusi hantaran di laman Facebook.
“Makan lauk ini sahaja pun sudah cukup menyelerakan. Mahu tambah nasi dua, tiga pinggan wei.
Mohon izin nak kongsikan resepi dekat sini, ya. Mungkin ramai yang sudah tahu dan otai-otai belaka.
“Tetapi saya nak kongsi juga. Mudah-mudahan memberi manfaat pada mereka yang baru belajar macam saya. Resepi ini ada dua cara, iaitu guna ikan mentah atau yang direbus.
“Saya pilih rebus kerana lebih senang dan cepat untuk diproses. Tetapi kalau nak lebih senang dan ‘express’, jangan buat ya puan-puan sekalian. Beli sahaja!” Kata pemilik akaun El Musliha Katiman itu sambil berseloroh.
Bahan-bahan membuat Solok Lada;
Satu pertiga biji isi kelapa parut (kelapa muda lagi sedap)
15 biji cili besar
Dua cawan santan separa pekat
Tiga helai daun pandan
Bahan untuk ditumbuk:
Isi tiga ekor ikan rebus (buang tulang)
Empat biji bawang merah
Tiga biji bawang putih
Satu sudu kecil lada hitam
Sedikit halia
Gula dan garam (secukup rasa)
Cara-cara penyediaan:
1. Bersihkan cili besar dan buangkan empulur serta biji-bijiannya sekali. Selepas itu, belah cili secara memanjang. Ingat, jangan buang tangkainya dan ketepikan dahulu.
2. Tumbukkan isi kelapa parut. Kemudian, masukkannya ke dalam satu bekas untuk digaulkan bersama kesemua bahan di dalam senarai yang perlu ditumbuk di atas.
3. Selepas itu, boleh sumbatkan isi yang telah siap digaul ke dalam cili pilihan anda Kebiasaannya, orang selalu menggunakan cili hijau muda untuk membuat solok lada.
4. Sebelum mula memasak, pastikan anda melapik periuk dengan daun pandan. Hal ini bagi memastikan solok lada menjadi lebih beraroma dan tentunya memikat selera.
5. Kemudian, susun solok lada yang telah berinti di atas daun pandan. Selepas itu, tutup solok lada berkenaan dengan beberapa helai daun pandan lagi.
6. Masukkan santan ke dalam periuk. Pastikan kandungan santan di dalam paras separuh dengan solok lada.
7. Dapur sudah boleh dihidupkan dan masakkan solok lada berkenaan dengan api yang perlahan sehingga santan kering atau solok lada itu kelihatan sudah masak.
Baca juga: “Tiap bulan aku bagi mak RM2000 tapi mak lebihkan adik-adik, akhirnya adik bongsu dedah semuanya”