Baki akaun ada 4 sen, wanita terkejut terima RM 30k masuk akaun akibat ada individu salah ‘transfer’

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Adalah lazim bagi sesetengah individu untuk menganggap wang yang secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam akaun bank mereka oleh pihak yang tidak dikenali sebagai ‘rezeki terpijak’.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak berlaku bagi seorang wanita bernama Irriana Azreen yang dengan gigih berusaha untuk memulangkan semula

wang berjumlah lebih daripada RM30,000 kepada pemilik sebenarnya selepas terjadi kesilapan dalam transaksi bank.

Melalui satu hantaran di X, Irriana menceritakan bagaimana dia mengambil inisiatif untuk mencari pemilik wang tersebut apabila tiada tuntutan dibuat selama dua minggu selepas wang itu masuk ke akaunnya.

“Dengan rasa bersyukur, saya tidak tergoda dengan wang tersebut. Betul-betul diuji apabila seseorang tersalah transfer RM30,448 ke akaun saya.

Baki akaun ada 4 sen, wanita terkejut terima RM 30k masuk akaun akibat ada individu salah 'transfer'

 

Saya menunggu selama dua minggu tanpa ada tuntutan. Jadi, saya terpaksa mencari pemiliknya sendiri,” katanya.

Difahamkan, wang tersebut dipindahkan ke akaun peribadinya melalui transaksi dalam talian oleh sebuah agensi pelancongan syarikat persendirian yang tidak dinyatakan namanya.

Irriana berjaya menjumpai pemilik wang tersebut selepas berusaha keras selama satu bulan. Sebelum memulangkan wang itu, dia memindahkan dana tersebut ke akaun simpanan yang dinamakan ‘Tabung’.

“Alhamdulillah, selepas sebulan saya berjaya menjumpai pemilik wang tersebut. Saya hampir tergoda untuk menggunakan wang itu sebagai bayaran pendahuluan untuk membeli Honda HR-V.

Walaupun hanya berangan, tetapi saya memilih untuk meletakkan wang tersebut dalam ‘Tabung’ di aplikasi Maybank kerana takut iman saya tidak cukup kuat. Tabung saya tambah 4 sen,” katanya dengan jenaka.

Melalui tangkapan skrin perbualan di WhatsApp yang dikongsikan, pemilik akaun tersebut menjelaskan bahawa kesilapan berlaku semasa memasukkan butiran nombor akaun.

“Pengurup wang tersebut tersalah taip. Dua digit terakhir nombor akaun bertukar. Jadi, saya telah memindahkan duit ke akaun anda,” jelasnya.

Irriana menjelaskan langkah-langkah yang diambil bagi memastikan wang tersebut dikembalikan kepada pemiliknya yang sebenar.

“Saya bertanya orang sekeliling dan mereka memberi pandangan. Saya meminta resit pemindahan, kad pengenalan, tarikh dan masa transaksi bersama surat persetujuan bersama. Saya berasa simpati dan risau bahawa wang tersebut mungkin milik seseorang yang ingin menunaikan haji dan saya tidak mahu wang itu dibekukan,” katanya.

Tindakan Irriana itu mendapat pujian daripada ramai pihak kerana dianggap sebagai contoh moral dan kejujuran yang tinggi.

“Masih ada orang yang jujur. Tindakan yang baik kak. Semoga Allah kurniakan rezeki yang berlimpah.

“Tahniah kerana menjadi orang yang amanah. Sukar untuk mencari orang yang boleh dipercayai sekarang.

“Wah, masih ada orang yang baik hati. Terbaik. Allah sedang menguji awak. Semoga rezeki anda dimurahkan,” komen netizen.

Sebelum ini, Ustaz Azhar Idrus, seorang penceramah bebas, pernah menjelaskan mengenai hukum sekiranya wang disalah masukkan ke dalam akaun peribadi seseorang.

“Jawapannya mudah. Situasi itu menjadi sukar jika wang dimasukkan ke dalam poket dan bukan dalam akaun bank.

Kita mungkin kebingungan jika tiba-tiba duit masuk ke dalam poket kita, tetapi jika dimasukkan ke dalam akaun bank, pihak bank akan dapat mengesan rekod transaksi

Kita yang mahir menggunakan internet akan lebih mudah menjejaki semula melalui butiran transaksi yang diberikan. Bank pasti dapat mengesan, tidak boleh tipu lagi,” katanya.

BACA: “Sebabkan ayah, aku dan mak asyik kena pindah rumah je, tinggalkan rumah sehelai sepinggang je bawa benda penting”