Seperti yang diketahui ramai, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menggantikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari ini.
Disebabkan itu, hujung minggu lalu Sultan Ibrahim telah menyatakan bahawa baginda tidak akan menerima permohonan menghadap sehingga ditabalkan,
Memberi tumpuan kepada masa bersama keluarga sebelum memulakan amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun di Malaysia dianggap unik, menjadikan kita sebagai satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran diraja.
Dalam artikel ini, kita akan mengetahui lebih lanjut mengenai sistem penggiliran ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Bagaimana Sultan Dipilih untuk Menjadi YDPA?
Di Malaysia, terdapat sembilan keluarga diraja, dan sembilan sultan mengambil giliran menjadi Yang di-Pertuan Agong, ketua negara selama lima tahun. Selepas merdeka pada 1957, urutan penggiliran Yang di-Pertuan Agong pada mulanya berdasarkan tempoh pemerintahan sultan. Tetapi, cara ini kemudiannya diubah, mengikut siapa yang menjadi Agong pertama hingga seterusnya.
Meskipun demikian, penggiliran masih bergantung kepada perkenan dan undi rahsia dalam Mesyuarat Pemilihan Majlis Raja-Raja. Setiap sultan perlu menyatakan percaya atau tidak kepada sultan yang dicalonkan untuk menjadi Agong, dengan keputusan berdasarkan majoriti.
Selepas keputusan dibuat, kertas undian dihapuskan di hadapan Majlis Raja-Raja. Sistem penggiliran ini telah memasuki dua pusingan, dan pusingan ketiga akan bermula selepas Sultan Perak menggantikan Sultan Johor lima tahun lagi.
Fakta Menarik, Sultan Kedah Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah ialah satu-satunya sultan yang telah menjadi Yang di-Pertuan Agong dua kali.
Peranan YDPA
Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan dan kuasa raja terus berkekalan. YDPA diberi beberapa kuasa, termasuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan kaum lain. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama Islam untuk negeri baginda dan negeri tanpa raja.
YDPA juga merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Peranan penting lain YDPA dalam kerajaan termasuk melantik Perdana Menteri, menangguhkan pembubaran parlimen, dan meminta Mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja.
Meskipun demikian, beberapa peristiwa baru-baru ini telah memaksa YDPA menggunakan kuasanya. Al-Sultan Abdullah telah memilih tiga perdana menteri sepanjang pemerintahannya. Pada 2020, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, YDPA memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Pada 2021, Dato’ Sri Ismail Sabri diangkat selepas Muhyiddin kehilangan majoriti. Pada 2022, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilantik selepas Pilihanraya Umum berakhir dengan parlimen tergantung.
BACA: Bukan saja-saja buat, ini maksud sebenar isyarat tangan Tunku Azizah