Penyanyi, Bad Indigo atau nama sebenar Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, meninggal dunia hari ini.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim dalam satu hantaran di Facebook.
“Dengan dukacita dimaklumkan bahawa sahabat saya Allahyarham Badrul Izhan Yeop Abdullah (Bad Indigo) telah kembali ke Rahmatullah pada 26 Oktober 2023. Salam takziah buat keluarga arwah.
“Semoga tenang di sana bersama orang-orang yang beriman, Bad. Al Fatihah (dibaca),” tulisnya.
Sementara itu, berita duka itu juga turut disahkan oleh penyanyi, Liza Hanim kepada Astro Awani.
Bagi yang belum tahu, Liza Hanim merupakan isteri kepada salah seorang anggota kumpulan Indigo iaitu Shah.
BACA: Pilu Dan Sedih, Bapa Liza Hanim Meninggal Dunia
Menurut Liza Hanim, Bad meninggal dunia di tempat kerjanya kira-kira pada jam 7 malam.
“Ya betul. Saya masih tergamam ni. Baru sangat terjadi. Arwah meninggal di tempat kerjanya… (dipercayai) akibat serangan jantung.
“Jenazah masih di tempat kerjanya dan ahli keluarga semua sedang on the way ke sana.
“Sekarang ni baru nak menguruskan apa-apa yang patut,” kata Liza Hanim kepada Astro Awani.
Ujarnya lagi maklumat lanjut mengenai jenazah akan dikongsikan nanti.
Kumpulan Indigo yang turut dianggotai oleh Shah, Zam dan Shaz itu telah ditubuhkan oleh KRU Records pada tahun 1996.
Membawakan lagu-lagu berentak R&B dan pop Melayu, kumpulan itu mula menempa nama dalam industri muzik tempatan dengan lagu Suraya dan Gadis Misteri.
Imbas kembali, Allahyarham pada Mei tahun lalu terpaksa menjalani pembedahan membuang tiga jari kaki akibat diabetes yang dialaminya.
Allahyarham telah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Ashira selepas saling mengenali ketika menyertai Gegar Vaganza 2020.
Mereka sah menjadi pasangan suami isteri di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 11 Mac 2021.
Bagaimanapun, ikatan perkahwinan yang dibina tidak kekal lama apabila mereka telah bercerai pada 23 Jun 2022.
BACA: Netizen dakwa Shakilla Khoriri ‘main’ dengan suami orang, sekali ini respon tuan badan