Selebriti versatil, Kelly Azman tegas akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih ada kiriman mesej berbaur lucah dihantar kepadanya selepas ini.
Jelas Kelly, atau nama sebenarnya Raja Azman Raja Ayob, 40, tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis kepada individu di sebalik profile Instagram terbabit.
“Dari minggu lepas lagi saya dah perasan DM daripada individu ini, sebelum ini pun ada dapat mesej tapi tidak melampau begini.
“Saya rasa tak adillah bila ada fake akaun buat saya macam ni, lepas tu mengaitkan tentang seksualiti. Kalau boleh janganlah buat begini pada saya, saya ni orang kenal… Kalau orang ingat betul, saya yang malu.
“Sekiranya mereka nak buat lagi (DM) saya akan ambil tindakan membuat laporan polis dan undang-undang,” tegasnya.
Terdahulu, Kelly yang popular dengan lagu No No No memuat naik paparan skrin kiriman mesej berbaur lucah daripada pengguna media sosial Instagramnya.
Dalam mesej terbabit, individu berkenaan ‘geram’ dengan Kelly dan mengajak wartawan selebriti itu untuk melakukan perbuatan tidak senonoh.
Kelly bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti identiti penghantar mesej berkenaan dan menyifatkan ia akaun palsu yang dibuat semata-mata untuk menjatuhkannya.
“Saya suspek orang sekeliling juga buat fake akaun, mungkin nak bergurau tapi tak eloklah untuk mental dan fizikal saya. Hentikanlah!” tambah Kelly.