Asal usul #SiBodohKauDengarSini hingga jadi trending

Asal usul #SiBodohKauDengarSini hingga jadi trending

Gara-gara kecewa dengan waktu operasi kedai makan semasa perintah kawalan pergerakan kedua (PKP 2.0) menyebabkan hashtag #SiBodohKauDengarSini menjadi sohor kini di Twitter.

Segalanya bermula apabila seorang pengguna akaun Twitter @farhanazahan merungut sudah dua kali tidak dapat makan malam kerana tidak dapat membuat pesanan makanan.

Farhan juga mengadu dia bukanlah seperti menteri yang memiliki pembantu rumah untuk menyajikan makanan setelah pulang dari bekerja.

Di bawah peraturan PKP, restoran atau kedai makan mesti menamatkan operasi pada pukul 8 malam. Ini bermaksud perkhidmatan penghantaran makanan tidak lagi menerima pesanan seawal jam 7.20 malam.

Namun pengguna twitter lain @ puterirajaawan membalas rungutan itu dengan mengatakan orang ramai tidak sepatutnya mengeluh, sebaliknya boleh membeli makanan lebih awal dan memanaskannya keesokan harinya.

“You tau you balik kerja lambat, you order lah one day before lepas tu letak la dalam fridge. Esok reheat je lah. If theres a will theres a way bro,” ciapnya.

Pendapat itu menimbulkan kemarahan pengguna akaun @yarafaee_ yang menulis “Si bodoh, kau dengar sini” bagi meluahkan perasaannya.

“Orang balik kerja tak ada masa nak masak sebab awal pagi esok dah kena pergi kerja balik,” tulisnya.

Ciapan itu mendapat lebih daripada 9,500 ulang ciap dan 16,300 tanda suka dalam sehari.

Pengguna Twitter di Malaysia kemudian mula menggunakan tanda pagar #SiBodohKauDengarSini sehingga menjadi sohor malam tadi dengan lebih 30,000 ciapan menggunakan hashtag berkenaan.

“Itu adalah ‘opening statement’ paling ‘power’ yang pernah ada. Saya percaya ia khusus untuk ahli politik,” kata pengguna Twitter @ellOnMars_

“Saya tertanya-tanya mengapa #SiBodohKauDengarSini menjadi trending dan ternyata tweet ni rupanya (oleh @yarafaee_).

“Saya boleh masak dan bekerja dari rumah tapi ya, simpati terhadap orang lain sangat diperlukan pada masa seperti ini,” kata @dha_nuy.

Pengguna Twitter Kashalia26 juga berkongsi masalah yang dihadapi dia dan keluarga apabila kedai makan ditutup awal.

“Suami bergegas pulang untuk beli makan malam sebentar tadi. Dia sempat jam 7.30 malam, tapi semua restoran dan ditutup, sebab mereka hadkan makanan agar tak ada lebihan ketika ditutup pukul 8 malam. #SiBodohKauDengarSini, ” tulisnya.

Pengguna Twitter juga menggunakan ungkapan “Si bodoh kau dengar sini” untuk melakukan pelbagai meme.

PKP 2.0 mula berkuatkuasa pada 13 Jan dan akan berlangsung sehingga 26 Jan dengan kemungkinan tempoh itu dilanjutkan.

Ini bertujuan mengehadkan pergerakan orang ramai bagi membantu mengekang penyebaran wabak Covid-19. –MK

COMMENTS