Palestin merupakan sebuah negara yang terletak di Timur Tengah dan amat dekat dengan umat Islam.
Di sana, terletak Masjid Al-Aqsa, iaitu kiblat pertama dan masjid ketiga tersuci bagi penganut agama kedua terbesar di dunia.
Walaupun terdapat banyak wilayah di Palestin, namun yang biasa didengari oleh rakyat Malaysia adalah Gaza, Rafah, dan Baitulmuqadis.
Untuk kali ini, SK ingin berkongsi beberapa fakta menarik tentang Rafah kepada pembaca.
Secara umumnya, Rafah memainkan peranan penting dalam kehidupan warga Palestin. Rafah terletak di dekat pos kawalan atau pintu sempadan yang bersebelahan dengan Semenanjung Sinai, Mesir. Pintu sempadan tersebut membentang sepanjang 12 kilometer, memisahkan Palestin dengan negara jirannya, Mesir.
Terdapat tiga pintu sempadan yang digunakan oleh warga Palestin untuk keluar dari negara. Dua daripadanya dikawal oleh Israel, manakala pintu sempadan di Rafah dikawal oleh pihak berkuasa tempatan Palestin dan Mesir.
Biasanya, warga Palestin menggunakan pintu sempadan Rafah untuk ke Mesir bagi pelbagai urusan, terutamanya untuk mendapatkan rawatan perubatan. Selain itu, pintu sempadan itu juga menjadi tempat untuk pelbagai aktiviti ekonomi, terutama semasa tempoh aman.
Warga Gaza juga kerap melintasi sempadan ke Mesir untuk bertemu dengan ahli keluarga yang terpisah akibat sempadan. Mengikut NPR, warga Palestin perlu mendaftar dengan pihak berkuasa Palestin beberapa minggu sebelum tarikh urusan untuk melintasi pintu sempadan Rafah.
Pihak berkuasa tempatan Palestin dan Mesir mempunyai kuasa untuk melulus atau menolak permohonan tersebut. Selain urusan biasa, pintu sempadan Rafah juga menjadi laluan masuk untuk konvoi bantuan kemanusiaan ke Palestin, terutama apabila pintu sempadan yang dikawal oleh Israel ditutup.
Menurut France24, sempadan Rafah tidak beroperasi seperti sempadan negara lain, seringkali ditutup daripada dibuka. Pada tahun 2022, sempadan itu hanya dibuka untuk 245 hari, dan pada tahun 2023, hanya dibuka untuk 138 hari sehingga bulan November.