Bangladesh kini berada di bawah perintah berkurung akibat rusuhan yang telah menyebabkan 115 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera.
Protes ini bermula sebagai tuntutan untuk membatalkan polisi kuota pengambilan jawatan dalam perkhidmatan awam negara tersebut.
Apa itu polisi kuota jawatan perkhidmatan awam di Bangladesh?
Menurut laporan kementerian pentadbiran awam Bangladesh pada 2022, negara tersebut mempunyai lebih daripada 1.9 juta jawatan penjawat awam.
AFP melaporkan bahawa lebih separuh daripada individu yang diambil bekerja dalam sektor awam tidak dipilih berdasarkan merit tetapi melalui
peraturan tindakan afirmatif yang mengutamakan wanita, penduduk dari daerah kurang membangun, dan golongan kurang bernasib baik.
Polisi yang menjadi pertikaian adalah sistem kuota yang menetapkan 30 peratus jawatan simpanan bagi anak pejuang kebebasan yang terlibat dalam peperangan menentang Pakistan pada tahun 1971. Polisi ini ditetapkan oleh pemimpin kemerdekaan, Sheikh Mujibur Rahman pada tahun 1972, bapa kepada Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed.
Pada tahun 2018, kerajaan di bawah pentadbiran Hasina telah memansuhkan skim kuota tersebut akibat bantahan pelajar. Namun, pada bulan Jun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perubahan tersebut menyalahi undang-undang dan mengarahkan kerajaan untuk memperkenalkan semula skim kuota tersebut. Mahkamah Agung kemudian menggantung perintah Mahkamah Tinggi dan menjadualkan perbicaraan semula pada 7 Ogos.
Mengapa polisi kuota ini ditentang pelajar?
Walaupun ekonomi Bangladesh telah meningkat secara drastik dalam beberapa dekad terakhir, negara ini masih tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi untuk rakyatnya yang berjumlah kira-kira 170 juta.
Lebih 40 peratus warga Bangladesh dalam lingkungan umur 15 hingga 24 tahun berstatus penganggur, tanpa pendidikan atau latihan. Statistik kementerian menunjukkan bahawa ini melibatkan 18 juta orang.
Pakar ekonomi menganggap krisis pekerjaan ini terutamanya meruncing bagi golongan graduan universiti. Jawatan dalam perkhidmatan awam menawarkan peluang pekerjaan yang stabil dan seumur hidup. Namun, pelajar mendakwa bahawa sistem kuota yang ada telah disalah guna, dengan peluang diberikan kepada penyokong setia Parti Liga Awami yang dipimpin oleh Hasina.
Mereka menuntut supaya sistem kuota ini diberikan kepada etnik minoriti dan orang kurang upaya, manakala baki 94 peratus jawatan diisi berdasarkan merit sahaja.
Kronologi protes pelajar di Bangladesh
Protes pelajar bermula pada 1 Julai 2024 apabila pelajar universiti mula menghalang jalan utama dan landasan kereta api di bandar-bandar utama seluruh negara untuk menarik perhatian terhadap tuntutan mereka. Demonstrasi ini kemudian disertai oleh pelajar sekolah menengah.
Kekecohan mula berlaku pada Isnin apabila berlaku pertembungan antara penunjuk perasaan anti-kuota dan sayap pelajar Liga Awami, mengakibatkan lebih 400 orang cedera di dua universiti di Dhaka. Keadaan semakin meruncing pada Khamis dengan keganasan meningkat di hampir separuh daripada keseluruhan 64 daerah di negara tersebut.
Tindak balas kerajaan Bangladesh terhadap kejadian
Kerajaan mengeluarkan arahan pada Selasa supaya institusi pendidikan di seluruh negara ditutup dan memberi laluan kepada pasukan Pengawal Sempadan Bangladesh untuk menjaga ketenteraman di beberapa bandar.
Dalam serbuan pihak polis di ibu pejabat Parti Nasionalis Bangladesh, tujuh ahli ditahan. Dalam satu sidang media pada Rabu, Perdana Menteri Sheikh Hasina mengutuk tindakan “pembunuhan” terhadap penunjuk perasaan dan memberi jaminan untuk menghukum mereka yang terlibat tanpa mengira fahaman politik.
Menteri Keadilan, Anisul Huq telah memanggil penunjuk perasaan pada Khamis untuk mengadakan rundingan.
Menurut maklumat dari pemantau web global, NetBlocks, penutupan internet berskala besar kekal berkuat kuasa di Bangladesh akibat sekatan capaian internet oleh kerajaan.
Setakat hari ini, penunjuk perasaan masih bertekad meneruskan demonstrasi walaupun berdepan tindakan keras. Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa kerajaan pimpinan Hasina untuk melindungi pelajar dari keganasan.
BACA: “Sepanjang aku membesar, ibu pakai baju kurung yang sama setiap hari ketika pergi kerja, rupanya..”