Anwar tolak pakai Mercedes harga RM1 Juta yang dibeli JPM. Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak daripada menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.
Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.
“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.
“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya.
“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya melalui Twitter malam ini.
Semalam, Anwar ketika sidang media Majlis Solat Hajat, Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Ashabus Solihin dekat sini, mengingatkan semua anggota Kabinet yang bakal dilantik tidak lama lagi supaya tidak membazirkan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu, terutama untuk kerja baik pulih pejabat masing-masing.
Perdana Menteri berkata, anggota Kabinetnya juga diingatkan tidak menggunakan peruntukan kerajaan bagi kemudahan peribadi, sebaliknya ia perlu diutamakan bagi mengatasi lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.
Beliau yang mengumumkan tidak akan mengambil gajinya sebagai Perdana Menteri, antara lain menasihati bakal anggota Kabinet supaya sentiasa berjimat dengan lebihan peruntukan itu perlu dipulangkan kepada golongan susah.