Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menerima penilaian gred ‘D’ yang diberikan oleh Bersih terhadap prestasi kerajaan perpaduan pimpinannya dengan sikap positif.
Beliau menganggap bahawa pentadbirannya yang baru sahaja menerajui Putrajaya, masih dalam fasa permulaan
Dan optimis penilaian itu akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Bersih bagi gred ‘D’, tak apalah, kali ini diberi ‘D’, bukan ‘F’. Mudah-mudahan, kalau masa UPSR dapat ‘D’,
SPM nanti boleh naik ke ‘A’. Kita ini kerajaan baru, sangat baru,” ujar Anwar di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta penjelasan berhubung pengiktirafan gred ‘D’ oleh Bersih, sedangkan kepimpinannya diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pada Selasa lalu, Bersih memberi penilaian gred ‘D’ kepada kerajaan perpaduan, menilai prestasi sejak dua tahun penubuhannya. Mereka juga meletakkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri terbaik sejak 2009.
Faisal Abdul Aziz, Pengerusi Bersih, berkata bahawa gred tersebut mencerminkan kemajuan yang terhad dalam melaksanakan reformasi serta jurang antara retorik dan tindakan. Menurut Bersih, ketiadaan reformasi yang ketara di bawah kepimpinan Anwar agak membingungkan, memandangkan kerajaan perpaduan menikmati sokongan yang lebih kukuh di Parlimen berbanding kerajaan terdahulu yang berjaya melaksanakan lebih banyak reformasi dalam dua tahun pertama.
Selain itu, Anwar juga mengulas mengenai peruntukan adil kepada pembangkang, mengulangi pendirian kerajaan untuk melaksanakannya, namun ia perlu melalui proses rundingan.
“Berkenaan peruntukan, saya tak faham, hal ini juga ada dalam laporan Bersih. Ketika saya jadi ketua pembangkang dulu, saya berunding dengan perdana menteri, dan selepas rundingan, baru diputuskan peruntukan yang diterima,” jelasnya.
Anwar turut menambah, Hamzah Zainudin (Ketua Pembangkang) sepatutnya menyedari bahawa rundingan perlu dilakukan. Namun, pembangkang enggan berunding, menyebabkan peruntukan ini tertangguh.
Sebagai penyelesaian, Anwar mencadangkan agar Awang Hashim menjadi perunding dan memberi jaminan bahawa peruntukan akan disalurkan segera jika persetujuan dapat dicapai dalam masa terdekat.