Annuar jangka lebih ramai MT Umno akan dipecat selepas Tajuddin. Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan terdapat beberapa lagi pemecatan beberapa individu di dalam parti itu.
Ia susulan daripada pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis.
“…pemecatan demi pemecatan berlaku dan difahamkan ada lagi beberapa nama yang sudah dicap sebagai musuh politik, bakal dipecat. Roda politik terus berputar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat berkata, pengguguran Tajuddin sebagai ahli MKT UMNO dilakukan kerana sikap pemimpin itu yang dilihat mengkritik parti menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, tindakan memecat ahli MKT sebelum tamat penggal perkhidmatan bakal membawa parti ke arah krisis dan perpecahan.
Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) sebelum digantikan pada Januari lalu berkata, langkah itu juga bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan PAU Khas yang diadakan baru-baru ini.
“Meskipun ada peruntukan bagi Presiden memecat ahli MKT yang dilantik Presiden, namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana-mana Presiden UMNO.
“Di bawah Tun M (Dr Mahathir Mohamad), terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yg menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong Presiden,” ujarnya.