RAMAI yang menjadikan barang peribadi milik individu yang telah meninggal dunia sebagai koleksi kenang-kenangan,
lebih-lebih lagi jika arwah adalah seorang yang dihormati dan dikenali dalam kalangan keluarga, rakan, atau masyarakat sekeliling.
Namun, ramai yang terlepas pandang bahawa barang-barang tersebut sebenarnya adalah
harta pusaka yang perlu melalui proses faraid sebelum boleh dimiliki atau diagihkan.
Di media sosial, seorang wanita meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir saudara-mara yang seolah-olah tiada empati apabila meminta barang-barang peninggalan arwah ibunya.
“Barang-barang tu semua ada nilai sentimental. Mak jarang beli untuk dirinya sendiri, kebanyakan anak-anak yang belikan. Jadi, setiap barang tu ada memori,” katanya, meluahkan rasa kecewa.
Barangan yang diminta itu termasuk tas tangan dan pakaian, yang semuanya merupakan sebahagian daripada harta pusaka.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut berkongsi pengalaman serupa. Mereka meluahkan rasa sedih apabila ada individu yang tidak menghormati situasi keluarga yang sedang berkabung, sebaliknya sibuk bertanyakan harta peninggalan.
“Kisah saya sama. Mak baru meninggal, tapi baju, tudung, beg dan apa-apa yang mak punya habis licin dalam almari. Siapalah yang tak ada hati perut ambil barang masa orang tengah bersedih,” luah seorang pengguna.
Dalam pada itu, penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, menjelaskan bahawa semua barangan milik si mati yang bermanfaat, termasuk pakaian, pinggan mangkuk, dan perkakas dapur, adalah harta pusaka yang wajib difaraidkan.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun barangan tersebut kelihatan kecil atau tidak bernilai seperti sudu atau selipar murah, ia tetap dianggap harta pusaka.
“Mindset orang kita, pusaka hanya berkaitan duit, emas, tanah, atau rumah. Padahal, segala yang boleh dimanfaatkan juga adalah harta pusaka dan wajib difaraid,” jelasnya.
Menurut Ustaz Azhar, harta peninggalan hanya boleh disedekahkan kepada orang lain sekiranya semua waris bersetuju untuk berbuat demikian.
Perkara ini penting untuk memastikan keadilan dalam pembahagian harta pusaka dan mengelakkan sebarang konflik yang mungkin timbul dalam kalangan ahli keluarga.
BACA: Pasang niat meninggal di Mekah boleh masuk syurga ke? Ini jawapan Ustaz