Sebahagian kanak-kanak yang tinggal di rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH)
Berisiko diisytiharkan sebagai anak wati’ syubhah, iaitu anak yang lahir daripada persetubuhan yang tidak sah jika tiada pengakuan nasab yang sahih daripada ibu bapa mereka.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata bahawa dalam undang-undang syariah,
khususnya melalui Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984,
menetapkan bahawa pengiktirafan nasab seseorang anak bergantung kepada status pernikahan ibu dan bapa.
“Jika seorang bapa mengaku seseorang itu anaknya, dia perlu mengemukakan sijil pernikahan yang sah.
Jika tiada sijil, dia perlu mendapatkan pengesahan di mahkamah syariah untuk mengesahkan pernikahan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Namun, Musa menekankan bahawa dalam kes kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal tersebut, terdapat ibu bapa yang seolah-olah tidak mengenali anak-anak mereka, menjadikan status nasab mereka samar.
Musa menjelaskan bahawa dalam konteks penentuan nasab bagi kanak-kanak yang lahir daripada pernikahan tidak sah dan tidak didaftarkan, cabaran paling sukar adalah untuk menentukan status pernikahan ibu bapa mereka, termasuk usaha mengemukakan bukti dokumen serta memanggil saksi-saksi semasa akad nikah dilakukan.
“Mungkin ada saksi, mungkin tiada saksi, atau mungkin saksi sudah meninggal dunia atau tidak dapat dikesan. Apabila ini berlaku, sesuatu perkahwinan itu boleh dianggap tidak sah, menyebabkan anak tersebut diisytiharkan sebagai anak wati’ syubhah.
“Sebab itu, penting untuk ibu atau bapa mereka tampil ke hadapan pihak berkuasa untuk mengakui kesahihan nasab anaknya,” katanya.
Musa juga menegaskan bahawa tanpa penentuan status tersebut, kanak-kanak berkenaan pasti akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan hak keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan, dan kewarganegaraan.
Beliau menambah, dalam hukum syarak, anak kecil yang dibuang atau ditinggalkan tanpa penjaga dikenali sebagai al-laqit dan menjadi amanah kepada orang yang menemuinya, atau yang ditunjukkan kepadanya, untuk menyerahkannya kepada pihak berkuasa bagi tujuan memeliharanya.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua orang Islam, termasuk kerajaan atau Baitulmal, untuk menjaga atau menyediakan penempatan bagi anak-anak al-laqit ini
sehingga mereka mencapai usia dewasa, atau diserahkan kepada keluarga angkat Islam yang mampu memelihara mereka dengan baik.
Musa juga menambah bahawa PGSM sudi menawarkan kepakaran mereka untuk membantu kerajaan menyelesaikan isu nasab ini.
BACA: Ramai yang buang kulit telur, ini kegunaan kulit telur, boleh jimat duit sabun pinggan