AMANAH punyai ‘track record’ tidak khianati rakan politik

AMANAH punyai ‘track record’ tidak khianati rakan politik

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin menyifatkan AMANAH dalam Pakatan Harapan (PH) adalah tunjang dan ‘gam’ yang memperkukuh koalisi blok pembangkang itu sendiri.

Menurutnya, AMANAH mengisi kelompangan yang ditinggalkan oleh Pas sewaktu zaman Pakatan Rakyat dan Bersatu ketika era PH.

“Rasanya belum ada lagi parti yang benar-benar bersungguh-sungguh mahu meluaskan jaringan kawan-kawan dan tapak sokongan rakyat sebagai diusahakan AMANAH ketika berkuasa dahulu.

“Bahkan, setelah hilangnya kuasa, AMANAH ditohmah macam-macam oleh sebahagian kawan-kawan yang mungkin tidak mengerti,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau menegaskan AMANAH adalah AMANAH yang sama sekali tidak pernah terfikir untuk mengkhianati rakan apatah lagi mahu berlangkah sumbang dengan pesaing politik.

Sehubungan itu, Shazni yakin rakan komponen PH tidak mengabaikan peranan signifikan AMANAH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kita yakin, rakan-rakan dalam PH cukup mengenali hati budi parti rahmah ini dan akan memberikan peranan yang lebih untuk berpencak di gelanggang PRU-15 akan datang.

“Sasaran kita adalah mahu memenangi PRU-15 apabila Parlimen dibubarkan oleh Muhyiddin nanti,” katanya.

Tambahnya, PRU-15 merupakan peluang untuk rakyat mengundi semula PH selepas kerajaan gagal berfungsi secara berkesan ekoran pertelagahan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Dengan puluhan menteri dan timbalan menteri yang tidak diketahui fungsinya serta bergaji besar setiap bulan, gerak kerja yang lembab dek asyik sibuk bertikam sesama mereka sendiri, itu adalah ruang untuk rakyat kembali memilih Pakatan Harapan,” ujar Shazni lagi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/amanah-gam-perkukuh-ph-tidak-khianati-rakan-politik/